Pada zaman Rasulullah, ada seorang lelaki buta yang amat rajin bersolat di masjid. Bagi memudahkannya berulang-alik, dia mengikat seutas tali menghubungkan rumah dengan masjid berkenaan. Berpandukan tali itulah dia berjalan setiap hari untuk solat berjemaah. Jarak di antara rumah lelaki buta dengan masjid tidaklah berapa jauh, namun masalahnya ialah di pertengahan jalan terdapat sebuah lubang besar yang dipenuhi air.
Suatu hari, lelaki buta jatuh ke dalam lubang tersebut. Bajunya habis basah. Kesian, dia berpatah balik untuk menukar pakaian kepada yang kering dan bersih, kemudian menyusur semula tali itu menuju ke masjid. Malangnya ketika melintasi lubang itu buat kali kedua, lelaki buta terjatuh lagi. Bersusah payah dia pulang ke rumah dan menukar pakaian, seterusnya berjalan ke masjid untuk kali ketiga.
Sudah nasibnya, ketika melintasi lubang besar, dia tergelincir lagi. Lelaki buta terhuyung-hayang tapi aneh, belum sempat tubuhnya terhumban ke dalam lubang, seseorang datang menghulurkan tangan. Orang tua itu menahan tubuhnya daripada jatuh dan kemudian memimpin tangan lelaki buta menuju ke masjid.
Berulang kali lelaki buta mengucapkan terima kasih. " Bolehkah tuan beritahu saya, siapakah tuan sebenarnya?" soal lelaki buta ketika mereka sampai di perkarangan masjid.
" Aku adalah syaitan!" jawab orang yang tidak dikenali tadi.
Syaitan? Lelaki buta terkejut. " Ta...ta..tapi kenapa engkau menolong aku sedangkan aku hendak ke masjid untuk bersolat, menyembah Allah S.W.T Yang Maha Esa.?"
Jawab syaitan, " Aku menolongmu sebab aku takut dosa orang-orang Islam terampun. Ini kerana semasa engkau jatuh kali pertama, dosamu Allah ampunkan. Semasa engkau jatuh kali kedua, seluruh dosa ahli keluargamu pula diampunkan dan jika aku biarkan engkau jatuh kali ketiga, maka seluruh dosa umat Islam akan terampun. Sebab itu aku menolongmu!"
No comments:
Post a Comment