Ros

Total Pageviews

Cerpen






Watak utama:

Suhaila (gadis viola)

Puan Sarah (ibu gadis viola)

Encik Kamil (bapa gadis viola)

Sinopsis;

Mengisahkan seorang gadis kacukan Indonesia. Dibesarkan dalam sebuah keluarga kecil dan berada. Suatu peristiwa yang tidak disangka telah terjadi dalam keluarga mereka di mana sekaligus telah memisahkan kasih sayang antara seorang ibu dan seorang anak, dan seorang anak kepada seorang bapa. Penceritaan yang sengaja dimuatkan dalam suasana konflik ini sengaja diadakan supaya dapat menarik minat pembaca bagi memahami naluri hati remaja yang suka memberontak. Gadis yang mesra dipanggil Viola ini dibesarkan dalam sebuah keluarga yang hanya mementingkan keduniaan, juga turut memaparkan tentang kegigihan dan ketabahan gadis seusia itu meneruskan kehidupan di luar sana seorang diri tanpa sokongan dari ibu-bapanya lantaran terlalu mengikut kata hati muda. Selain itu, dari kisah ini juga diselitkan dengan masalah remaja lain yang berasal dari latar belakang keluarga yang sama namun, mempunyai masalah konflik kekeluargaan yang berbeza. Melalui segala insiden yang berlaku, dengan itu turut diisi dengan pengajaran yang berguna bahawa harta kekayaan tidak akan dapat menjanjikan kita kebahagiaan,  keharmonian, serta nilai kasih sayang yang harus wujud dalam sebuah keluarga.

BAB 1

Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa.Hari-hari indah dilalui gadis itu dengan riang sekali.Usia remajanya sentiasa terisi dengan aktiviti santai bersama rakan-rakan sebaya. Pagi yang agak suram menghuni kediaman mewah banglo berwarna kuning cair itu. Cuti hujung minggu itu semestinya menjadi peluang mereka yang rata-ratanya bekerja  untuk bermalasan-malasan di atas katil.

Sebaris pohon-pohon rendang, gagah menghiasi sekitar kawasan kediaman mewah yang kebanyakan didiami golongan elit dan berpendapatan tinggi. Halaman setiap rumah teratur megah dengan kereta-kereta mahal dari luar negara, Tokoh Koperat, hartawan yang memiliki berderet-deretan syarikat-syarikat besar, sehingga Kakitangan Kerajaan sama ada, NGO, Wakil-wakil parti, semuanya mendiami kawasan itu.

Namun, aktiviti-aktiviti berunsurkan kebajikan dan semangat muhibbah jarang sekali diadakan.Kebanyakan mereka sibuk bekerja, menikmati kesenangan hidup. Kalau adapun, aktiviti kebajikan dilakukan dengan mengedar tabung-tabung derma yang dikutip dari rumah-rumah mereka. Tanpa banyak soal lagi, tanpa rasa gusar sedikitpun,  mereka memasukkan wang ke dalam Tabung Derma Kilat itu. Begitulah hidup golongan berada, jarang sekali tersempit dengan wang. Pegangan mereka, kalau ada wang,semuanya boleh saja.

Gadis bertubuh genit itu, menyayi-nyayi riang. Langkahnya diatur seolah-olah mengikut rentak lagu kesayangannya,yang sentiasa dialun selalu. Hatinya berbunga-bunga riang dan mekar, seriangnya lagu itu. Tubuhnya yang lansing dan tinggi lampai dihempaskan ke atas sofa biru lembut. Pandangannya menjamah ke luar jendela. Hujan lebat yang disertai petir itu masih belum menampakkan yang ianya akan berhenti membasahi bumi yang kian tandus.

Tangannya pantas mencapai majalah remaja popular masa kini. Setiap helaian demi helaian, diselak. Sesekali dia tersenyum mungkin ada yang lucu dalam pembacaannya. Tidak berapa lama, majalah itu diabaikan. Dia mengeluh kebosanan yang membelenggu diri. Telefon berdering,pantas dicapai lalu diletakkan di telinga. Selesai berbicara, dia tekun mendail punat-punat nombor yang melata di atas badan telefon bimbit itu.

Di hujung sana terdengar nada deringan yang memainkan lagu Justin Biebier. Seberapa minit, panggilan itu diterima oleh seorang perempuan. “Helo…sapanya lembut. Gadis itu mula menutur bicara dengan si pemanggil empunya ibu kesayangan.

“Viola, mama dah pulang. " suara Puan Sarah memanggil puteri kesayangannya, Viola. Viola yang selalu mengalunkan irama indah di segenap sudut kediaman rumah mereka. Viola yang penuh dengan sifat manja ,lincah dan menghiburkan.  “Iya…Viola di sini, gadis itu memeluk erat Puan Sarah.  Satu kucupan kasih sayang seorang ibu singgah di dahi Viola. Semestinya setiap saat dia mengharapkan agar mamanya dapat meluangkan masa bersama. Mendengar luahan hati, dan membelainya setiap masa. Viola tersenyum bahagia, bahagia yang teramat sangat sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.

Malam mula menjelma, siang mula menusuk jauh menghilangkan diri. Begitulah hidup ini, siang dijadikan untuk masa manusia bekerja menghimpun rezeki yang diturunkan oleh Yang Maha Esa. Malamnya pula,  masa untuk beristirehat,  menghambakan diri kepada Allah Taala Rumah-rumah yang tersengam indah dimiliki golongan elit itu bercahaya dengan lampu-lampu berwarna-warni yang menerangi setiap isi rumah. Viola menadah tangan,  kain telekung bercorak bunga,  membaluti tubuh kerdilnya.

Dia berdoa dengan penuh harapan dan yakin. Segala isi-isi hati diluahkan kepada Tuhan yang satu. Air mata jernih mengalir laju menangisi kesilapan-kesilapan yang dilakukan. Dia beristhigfar dan memuji keagungan Tuhan yang agung. Sesunguhnya, dirinya hanyalah manusia kerdil dan menjadi khalifah di muka bumi ini.

Viola menikmati makan malam bersama mamanya. Papanya masih lagi berada di luar negara menguruskan hal-hal syarikat. Bibik Inah sibuk mengemas di dapur. Mamanya sudah mempelawa bibik makan bersama mereka tetapi bibik menolak.  Viola mencapai gelas yang berisi jus epal. Dia membasahi tekak lalu meminta diri dari mamanya untuk beredar.

Viola menghirup angin malam di halamam rumah.  Dia melabuhkan punggung di atas sebuah bangku berhadapan dengan kolam renang. Pandangannya dihalakan ke langit yang gelap-gelita itu bersinar cantik sekali apabila dihiasi bintang-bintang yang bercahaya.  “Cantiknya,.. detik hatinya sambil leka menikmati panaroma itu.   “Suatu hari nanti,  kalau aku keseorangan dan perlukan teman,  kamu semua mesti setia menemani aku, tahu?"  entah tiba-tiba hatinya berkata begitu seolah-olah mahu bintang-bintang itu berjanji akan menemaninya suatu hari nanti.

Viola mula melangkah meninggalkan suasana indah itu apabila Bibik Inah memanggilnya masuk.  Dia merebahkan tubuh di atas katil empuk kamarnya.  Cahaya malap dan suasana suram dalam bilik itu membuatkan matanya kian terlelap.  Tepat jam 10.00 malam, dia telah enak dibuai mimpi-mimpi indah bersama bintang-bintang tadi.

Pagi seterusnya merupakan minggu persekolahan. Viola bangun pagi itu dengan semangat yang berkobar-kobar. Tahun ini merupakan tahun yang akan menentukan masa hadapannya. Sudah tentu, dia mahu melakukan yang terbaik untuk hidupnya. Biar mama,papa dan juga tidak terkecuali Bibik Inah yang akan berasa bangga atas kejayaan yang diraihnya nanti. Viola bernyayi-nyayi riang sambil tangannya galak merapikan rambut ikalnya yang  ditocang dua itu.  Dia melangkah turun ke tingkat bawah sambil menggalas beg sandang yang erat tergalas di di kedua-dua bahu.

“Assalammualaikum,  mama..sapa Viola manja. Dia selalu ingat akan pesanan mamanya,  yang amalan memberi salam itu adalah wajib dan amat dituntut oleh agama Islam. Puan Sarah tersenyum manis. Dia juga sudah bergaya dengan blaus hitam, berseluar putih, solekan yang agak tipis dikenakan sudah membuat setiap mata yang memandang akan terpukau. Viola juga turut mewarisi kecantikan mamanya itu.

“Belajar rajin-rajin,  bila dah pandai nanti bolehla uruskan syarikat papa pula.”   Demikian, nasihat Puan Sarah sebelum anak kesayangannya itu melangkah keluar dari kereta. Viola hanya tersengih macam kerang busuk. Sebagai anak tunggal,  sudah pasti dia yang akan mewarisi harta kekayaan ibu-bapanya apabila dewasa nanti.

Viola membuka setiap helaian buku nota subjek Sejarah. Dia mula menumpukan sepenuh perhatian kepada setiap baris ayat yang tertulis kemas di dalamnya. Viola sememangnya seorang pelajar yang pintar dan rajin. Setiap kali peperiksaan, keputusan peperiksaannya tidak pernah membuat papa, mama serta guru-guru yang sentiasa menaruh harapan tinggi itu kecewa dan tidak memuaskan hati. “Ila…, satu sentuhan lembut hinggap di belakangnya. Dia memandang ke belakang melihat siapa empunya suara. “Hey, Intan ingatkan sapa tadi. ”  balas Viola yang lebih dikenali rakan-rakannya dengan panggilan Ila, singkatan namanya Suhaila. “Hm…tekunnya membaca tadi,”  sindir Intan sambil tersenyum. Viola tersengih menampakkan giginya yang tersusun kemas dan putih bersih itu.

Viola menghabiskan waktu rehatnya di kantin bersama Intan,  Fara, dan Mawar. Dia bersyukur kerana dikurniakan teman-teman yang sentiasa bersamanya  tidak kira senang ataupun susah. Tiba-tiba,  dia teringat akan pesanan Luqman Hakim kepada anak-anaknya supaya tidak mengharapkan Sesuatu dari sahabat, namun biarlah dia yang mengharapkan Sesuatu dari kita. Dia hanya tersenyum senang.

Setelah loceng berdering,mereka mula melangkah masuk ke kelas bagi menyambung proses pembelajaran pada hari itu. Viola menumpukan sepenuh perhatian kepada pembelajarannya. Dia mahu mengekalkan pencapaiannya yang cukup cemerlang itu sehingga waktu peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) nanti.

Akhirnya,loceng berdering bagi yang kesekian kalinya. Kegembiraan mula terpancar kepada mereka yang telah merancang aktiviti yang bakal dilakukan apabila pulang ke rumah nanti. Hampir semuanya mempersembahkan free show muka yang agak lesu, tidak bersemangat bagi menarik simpati guru yang mengajar agar tidak meneruskan pembelajaran. Viola lantas mengemaskan buku-bukunya ke dalam beg. Pelajar kelas 5 Sukses yang lain juga tidak berlengah lagi untuk pulang ke rumah bagi menegangkan kembali saraf-saraf otak yang lemah disebabkan terlalu penuh terisi dengan berbagai-bagai topik pada hari itu.

“Ila, saya tak faham la apa yang Teacher Jasmin ajarkan tadi…” luah Fara. “Ye la,  saya pun. Mengantuk sangat tadi, satu apa pun tak dapat masuk dalam otak ni,”  ujar Mawar pula sambil disertai dengan mukanya yang masam mencuka.

Volia menggeleng-geleng kesal.  “Ok,  macam ni saja, apa kata petang nanti awak semua datang ke rumah saya so bolehlah kita study sama-sama,nak tak?  balas Volia sambil kekal dengan senyumannya itu. Mereka semua berpandangan lalu serentak menggangguk tanda setuju.

Petang itu, tercapailah hasrat empat sekawan itu untuk mengulangkaji pelajaran bersama-sama. Volia mahir dalam subjek Sejarah, Matematik, Fizik dan Biologi. Mawar pula dalam subjek Geografi dan Bahasa Inggeris. Intan dan Fara pula lebih menonjol dalam subjek Pendidikan Islam, serta Kemahiran Hidup. Keakraban mereka sudah bermula sejak di tingkatan satu lagi. Kecemerlangan akademik dan kokorikulum empat serangkai ini sentiasa menjadi buah mulut guru-guru di sekolah mereka.

Viola sedang leka menyiapkan kerja rumah yang diberi oleh Cikgu Kamal, guru subjek sejarahnya. Minggu depan merupakan cuti penggal persekolahan. Dia tidak merancang untuk melakukan sebarang aktiviti. Kerja rumah yang diberi oleh guru sudah disiap sepenuhnya pada hujung minggu ini. Walaupun minggu depan adalah cuti persekolahan namun, Viola mahu menyiapkan semuanya secepat mungkin. Dia tidak mahu bertangguh lagi. Dia sentiasa mengingati kata-kata Cikgu Suraya, bahawa sesiapa yang bertangguh dia umpama pencuri masa.

Baginya, masa itu emas. Masa yang datang tidak akan datang bergolek lagi. Masa muda tetap menjadi tua, masa lapang yang ada sudah tentu suatu hari nanti menjadi sempit juga. Viola tekun menulis setiap baris ayat yang dari buku teks yang terbentang di hadapannya. Angin yang berhembus melalui ruang jendela sesekali enak menjamah muka putih langsatnya itu.

Rambut ikal mayangnya dilepaskan.Apabila bosan,dia melunjur seketika.Sejam berlalu, kelihatan dia mula mengemas buku-buku pelajaran lalu mengatur langkah menuju ke kamar beradu.

Petang itu, Puan Sarah pulang dari tempat kerjanya  ketika Viola sedang mengambil angin di halaman rumah sambil ditemani komputer riba. Viola menyampaikan hasrat supaya pada cuti penggal ini mamanya dapat meluangkan masa untuk pulang ke kampung halaman menjenguk nenek dan datuknya. Puan Sarah hanya menggangguk mengerti akan keinginan anak tunggalnya itu.

Selepas menikmati makan malam, Viola  menonton rancangan televisyen Korea kesukaannya, My Fair Lady. Puan Sarah pula sedang berehat sambil membaca majalah Wanita di sisi anak kesayangannya. Viola berasa tidak sabar menanti kepulangan papanya dari Hong Kong keesokkan harinya. Mamanya pula tidak menunjukkan sebarang reaksi. Tidak tergambar langsung perasaan gembira di wajahnya.  “Mungkin mama penat.”  Viola cuba menyedapkan hatinya yang semakin tidak keruan itu.

Pagi keesokkannya, Viola hanya menghabiskan masa bersantai di atas katil ditemani lagu band korea kegemarannya, Love Like This yang dinyanyikan oleh ahli kumpulan SS501. Sebuah kumpulan band yang kini sedang giat menempa nama dalam industri muzik di tanah air mereka. Setelah dua kali lagu itu diputarkan  dari telefon bimbitnya. Dia sudah mula naik bosan. Dia lantas turun ke bawah. Mama dan Bibik Inah sudah tentu sekarang sibuk di dapur menyediakan makanan kegemaran papanya.

Viola melabuhkan punggung di atas sofa.Dicapai alat kawalan televisyen yang sedia ada di atas meja kecil di hadapannya. Punat-punat yang melata di atas remote control itu ditekan beberapa kali. Rancangan televisyen yang disiarkan sedikitpun tidak dapat menghilangkan kebosanan yang sedang membelenggu diri. Peti televisyen berukuran 27 inci itu tertutup kembali. Dia mengatur langkah menuju ke kolam ikan peliharaan papanya. Betapa ikan itu tenang dan bebas berenang tanpa diganggu manusia.Dia termenung panjang. Pergerakan ikan itu berjaya menarik perhatiannya.

Kepulangan papanya tengah hari itu sesunguhnya dapat mengubat rindu yang terpendam di dalam hati. Dari raut wajahnya, terserlah kegembiraan apabila dapat meluangkan masa bersama isteri dan anak tersayang. Semestinya, kepulangan papanya tidak dengan tangan kosong sahaja. Viola gembira sekali kerana papanya membelikan satu set vcd korea yang telah lama didambakan.

Santapan tengah hari itu tidak sunyi dengan celoteh manja Viola yang sememangnya penyeri dalam rumah itu. Puan Sarah tidak sudah-sudah melayani puteri tunggalnya yang selama ini diabaikan. Dia juga tidak lupa memaklumkan keinginan Viola untuk menghabiskan cuti persekolahan penggal pertama itu di kampung halaman suaminya kepada Encik Kamil.

Encik Kamil dan Puan Sarah mengambil keputusan untuk pulang ke kampung sebagai memenuhi hasrat anak mereka. Walaupun kesibukan kerja, namun mereka tidak sanggup menghampakan keinginan Viola yang sememangnya rapat dan manja dengan datuk dan nenek di sebelah papanya. Oleh kerana,  jarak kampung halaman Puan Sarah jauh di negeri seberang maka tidak hairanlah mereka hanya berpeluang pulang ke sana apabila menjelang hari perayaan.

Viola gembira tidak terkata apabila mamanya memberitahu atas persetujuan  papanya untuk pulang ke kampung. Menjelang petang, mereka bertolak dari Kuala Lumpur ke Negeri Sembilan yang mengambil masa 3 hingga 5 jam untuk sampai ke sana.

Sesampainya di sana,Viola melonjak kesukaan. Neneknya, sedang menyapu di halaman rumah. Datuknya pula sibuk menguruskan kebun sayur yang diusahakannya. Datuknya merupakan seorang yang rajin. Oleh sebab itu, apabila pulang ke kampung barulah Viola berkesempatan merasai masakan kampung dan buah-buahan hasil titik peluh datuknya.

Suasana pada malam itu agak berbeza dari suasana di tempat tinggal mereka. Selepas menikmati makan malam, Viola mengambil peluang menghabiskan masa di anjung rumah sambil menghirup udara malam di desa itu. Ketenangan yang dirasai pada malam itu amat berbeza sekali di Bandaraya Kuala Lumpur yang sentiasa dibingitkan dengan irama sumbang hon kenderaan yang entah bila akan berhenti memenuhi lebuhraya yang sentiasa sibuk tanpa sepi.

Masa yang berlalu akan terus berlalu jua. Akhirnya, cuti penggal pertama itu kian melabuhkan tirainya.Keesokkannya, Encik Kamil akan mula bekerja dan melayani kesibukannya seperti biasa. Biarpun, keputusan mama dan papanya amat tidak memuaskan hati Viola, namun apakan daya dia tidak mahu memaksa mereka bagi memenuhi permintaanya itu. Sesunguhnya, persetujuan mama dan papa untuk pulang ke kampung sedikit sebanyak dapat mengubat luka hatinya apabila seringkali kali diabaikan mereka atas kesibukan menempa nama dan mencari rezeki.

BAB 2

Minggu seterusnya, merupakan hari lahir Viola yang ke-17. Melihat kesibukan mama dan papanya,  jarang sekali memunculkan diri di rumah,  menyebabkan Viola menjadi tawar hati untuk meminta kebenaran mereka mengadakan ‘Party’ seperti tahun-tahun sebelumnya. Kadang-kala, jiwa remajanya seakan-akan meronta-ronta apabila melihat kemesraan dan layanan kasih sayang yang ditonjolkan oleh ibu-bapa rakan-rakannya yang lain.

“Mama, teka la minggu depan hari apa?” soal Viola ketika mereka menonton televisyen sementara Puan Sarah sibuk menyiapkan tugasannya menggunakan komputer peribadi.Puan Sarah kedu dan tercengang.Dia mula menumpukan perhatian kepada Viola sambil menongkatkan dagu. “Em, hari Ahad.Dan mama ada ‘meeting’ dengan Auntie Maria mama Fara, kan? Viola saja nak test mama er”, balas Puan Sarah kembali menumpukan perhatian kepada tugasannya.

Viola mula menunjukkan wajah hampa dan kecewa. Harapan yang sudah mula bercambah dalam sanubarinya, kabur begitu sahaja. Dia mula menyusun langkah perlahan-lahan. Puan Sarah leka lagi menaip di halaman komputernya. Biarpun, kamarnya cerah benderang dengan kilauan lampu yang pelbagai warna, namun masih tidak dapat memadamkan perasaan kecewa dalam dirinya. Bagai kata pepatah, sudah jatuh ditimpa tangga.

Viola bangun pagi itu dengan lemah-longlai dan tidak bersemangat seperti kebiasaan harinya. Satu patah perkataan yang disoal, satu perkataan jualah yang disahutnya. Perubahan sikap Viola pada pagi itu, dirasai Puan Sarah yang mengenali sikap semula jadi Viola yang periang dan paramah.  “Mungkin Viola gugup lagipun SPM  dah makin dekat ni,”  Puan Sarah cuba membuat andaian agar dapat menenangkan hatinya semula.

Mawar, Fara, dan Intan tidak putus-putus ghairah mencipta topik-topik panas apabila tanpa kewujudan guru subjek seterusnya.Viola pula lebih suka melayani fikirannya yang tidak berapa stabil itu. “Macam mana mama boleh tak ingat tarikh birthday aku? Lagipun,mama bukannya ada anak lain lagi kan? tapi…, argh…mama selalu lupa pasal aku, yang mama tahu, aku dapat wang yang cukup, aku sihat, aku ‘top-ten’ dalam result exam, tapi, kenapa mama harus lupa date penting dalam hidup aku? kenapa? kenapa? pertanyaan demi pertanyaan menjengah ke dalam kotak fikirannya, berlalu tanpa jawapan.

Dia menenangkan fikiran ditemani angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa. Sekurang-kurangnya segala konflik perasaan yang mengganggu di sudut kalbu hati mampu mengembalikannya dalam keadaan stabil semula. Minggu hadapan, merupakan tarikh pertengahan bulan April. Tarikh yang amat penting dalam hidup Viola. Bermula tanggal itu, dia rasmi menjadi Viola papa serta mamanya. Tetapi, Viola masih mengharapkan agar mamanya dapat mengingati tarikh penting itu tanpa diperingatkan.

Hari-hari itu dilalui Viola seperti biasa. Dia mula bersunguh-sunguh menumpukan perhatian pada pelajaran. Kali ini, Encik Kamil akan ke ‘outstation’ atas dasar kerja selama 2 mingggu. Puan Sarah semakin jarang memunculkan diri di dalam rumah itu,  kerana sibuk menguruskan projek baru bagi persatuan pertubuhan wanita itu. Malam itu, Puan Sarah pulang lewat dari malam-malam biasa, Viola mula berasa risau dan cemas. Jarang sekali mamanya berubah seperti itu.

Viola masih setia menanti kepulangan mamanya. Tepat jam 11 malam, kedengaran bunyi kereta Puck Puan Sarah meluncur laju masuk ke halaman rumah. Viola menjengah ke luar melalui tingkap kaca bersebelahan pintu besar utama. Pintu itu dikuak seseorang, mempamerkan wajah mamanya yang lesu dan tidak bermaya.

Dia lantas mencapai tangan mamanya membantu Puan Sarah duduk di sofa.  “Mama,  kenapa ni? ”soal Viola yang masih terpinga-pinga apabila melihat keadaan mamanya. Benar! mamanya menangis. Tapi kenapa? apakah sebab projek itu gagal dilaksanakan?  Pasal papanya?  Atau baru sahaja kematian seseorang?  Viola semakin keliru. Mamanya tidak pernah menunjukkan kesedihan yang terpendam di dalam hati,  biarpun di depan Viola mahupun Encik Kamil.

Viola pun tidak pernah tahu apakah mamanya pernah sedih atau tidak. Yang dia tahu, setiap kali pulang dari sekolah mamanya masih di tempat kerja,  paling awal pun pulang apabila jarum jam itu  sudah merangkak ke angka sembilan. Papanya, arh… sukar sekali dapat bertemu dengannya, walaupun hanya sekali dalam seminggu. Viola kadang-kala bingung apabila melihat  kekerapan papanya ke Australia. Tidak mungkin papanya terlalu sibuk sehingga terpaksa mencuri masa untuk ke sana, walaupun hanya beberapa hari dalam seminggu. Puan Sarah masih menangis  sambil memeluk satu-satunya permata hati dalam rumah itu. Malam itu berlalu begitu sahaja dengan persoalan-persoalan yang hadir dalam fikiran Viola. Mungkin mama akan menceritakan segalanya keesokan pagi.

Pagi itu, suasana sunyi menyelubungi rumah besar itu. Puan Sarah hanya membisu seribu bahasa ketika mereka bersarapan.  “Viola, nanti mama hantarkan ke sekolah ya,”  tutur kata yang keluar dari mulut Puan Sarah membuatkan Viola tergamam sebentar.  “ Ya Allah, kenapa aku tak berasa gembira sedikitpun dengan perubahan itu, iya… sepatutnya aku gembira kerana akhirnya mama dapat meluangkan masa bersama aku,  bukankah itu yang seringkali aku harapkan?”  minda Viola cuba mentafsirkan segalanya.

Dia semakin bingung. Apa yang sudah berlaku di hadapannya malam tadi sudah cukup membuat jiwanya tertanya-tanya. Namun, pagi ini juga menambahkan lagi kekusutan yang muncul dalam fikiran. Itupun belum lagi melihat perubahan papanya pula. Di dalam kereta, sesekali  Viola menjerling ke arah Puan Sarah. Bermain dengan perasaan, sama ada mahu bertanya tentang semalam atau tidak. Dia mula menuturkan kata-kata yang tidak dapat dikesan mamanya.

“Mama, tak kerja ke hari ni?” soalan yang diharapkan dapat merungkaikan semua persoalan.Puan Sarah tersenyum manis. Viola dapat merasai yang senyuman itu seakan-akan sengaja dibuat-buat. Mungkin  juga Puan Sarah berasa terperangkap dengan soalan berbaur sindiran itu.  “Kenapa soal macam tu?  Memangnya, Viola tak suka ke mama hantarkan ke sekolah pagi ini. "

Jawapan yang terbit dari bibir Puan Sarah membuatkan denyutan jantungnya berdegup kencang.Viola mati kata-kata. “Tapi, kenapa mama menangis semalam?”  soal Viola kembali tidak mahu mengaku kalah dengan mamanya. Puan Sarah mula tidak keruan. Namun, masih dapat mengawal kereta yang dipandunya itu. “Em,  pasal semalam tu,  kertas projek mama hilang. Mama kecewa sangat, so sebab itu la, mama balik lewat sebab cari kertas cadangan tu, lagipun mama dah bayar semua senarai perbelanjaan dalam projek yang mama nak tubuhkan pada bulan depan,”  panjang lebar Puan Sarah cuba meyakinkan Viola. Viola menggangguk mengerti. Namun, dia masih merasakan alasan itu memang tidak masuk akal dengan apa yang terjadi pada Puan Sarah semalam.

Akhirnya, destinasi ke Sekolah Menengah Kebangsaan Bangsar, dapat diteruskan. Kedatangan Viola ke sekolah pada pagi itu dengan dihantar oleh Puan Sarah mengejutkan rakan-rakan rapatnya. Semestinya, menghairankan apabila kebiasaanya dia dihantar oleh pemandu yang disediakan oleh papanya bagi kegunaan Viola. Puan Sarah sibuk memanjang. Namun, mereka suka dengan mama Viola yang merupakan seorang yang peramah dan ringan mulut.

Viola melambai-lambai ke arah mamanya sebelum menuju ke arah rakan-rakannya yang sedia menanti di pintu gerbang sekolah. Dia mula melangkah, sambil tersenyum manis.  “Wah,  awal nampak. ” usik Viola  seraya merapikan rambutnya yang ditiup bayu pagi. Fara dan rakan-rakannya yang lain masih tersengih. “Suka la tu,  datang sekolah hari ni mama dia yang hantarkan, kalau tak monyok ja muka tu. ” Balas Fara lalu mencuit hidung Viola yang kembang kempis menahan malu.  “Betul tu,”  tambah Intan dan Mawar serentak. Viola hanya menggeleng-geleng perlahan.

Waktu pembelajaran kedua, merupakan saat yang tidak dapat dilepaskan bagi pelajar kelas 5 Excellent  kerana Cikgu Maharni tidak hadir ke sekolah atas sebab kecemasan. Riuh-rendah macam pasar borong dibuatnya kelas yang menempatkan lebih kurang 40 orang pelajar itu. Pelbagai  gelagat yang mencuitkan hati dapat dilihat dalam kelas  yang rata-ratanya pelajar harapan SPM  tahun ini.

                                              

Peranan sebagai ketua tingkatan, Tengku Hafis yang tidak hadir ke sekolah diambil alih penolongnya, Amni Nadia bagi menangani kekacauan yang mula aktif menggelamkan serak suaranya memberi arahan. Viola dan Fara pula sedang tekun menyiapkan projek kumpulan mereka yang perlu dibentang pada minggu depan. Mawar dan Intan pula masih giat mencari isi-isi penting yang diperlukan.

Di satu sudut, kelihatan anak saudara salah seorang menteri, Puteri Hawanis masih leka membicarakan isu-isu panas dari majalah hiburan. Di kiri, kanan, depan dan belakangnya dikelilingi anggota orang kuatnya, yang lebih dikenali di sekolah itu dengan gelaran ‘Gossip Girl’  kerana semua ahli-ahli yang menyertai kumpulan itu kebanyakannnya dianggotai oleh kaki-kaki gosip bersandarkan majalah hiburan.

Tamat persekolahan, Viola menunggu kedatangan Pak Cik Murad. Pemandu yang berperanan menghantar dan menemani ke mana sahaja dia pergi. Rakan-rakannya yang lain, sudah pulang lebih awal dijemput oleh ibu-bapa mereka. Air mineral yang masih berbaki diteguknya perlahan-lahan. Panas mentari menucuk-nucuk kulitnya yang putih langsat itu. Tiba-tiba telefon bimbitnya berdering. Pantas dicapai dari satu sudut kocek beg sandangnya.

“Helo, Viola mama ni. ” satu suara kedengaran. “Ya, kenapa?” soalnya sambil menghalakan pandangan ke  sekitar kawasan sekolah mencari kelibat Pak Cik Murad. “Tadi, Pak Cik Murad call mama, dia kata kereta rosak dalam perjalanan ke sana, dan mama masih dalam dewan ‘meeting’ lagi ni, Viola tak kisah kan? kalau pulang ke rumah dengan bas atau teksi saja? jelas Puan Sarah mengharapkan puteri tunggalnya itu mengerti.

Viola terdiam seketika.  “Apa?  pulang dengan bas?  dengan cuaca yang panas terik ni?  masih adakah lagi bas sedangkan waktu persekolahan sudah lama tamati,"l Viola  berbicara sendiri dalam sanubarinya.  “Viola ok ker?”  panggilan Puan Sarah menghentikan lamunannya. “Em, ok. Mama jangan la risau,”   panggilan itu ditamatkan. Dia mula melangkah menuju ke jalan besar. Tidak berapa lama, akhirnya teksi yang diharapkan sampai jua. Dalam hati, Viola mengucapkan syukur kepada Allah kerana mempermudahkan segalanya.

Petang itu, hujan turun membasahi bumi. Viola hanya duduk membaca novel di halaman rumahnya. Milo panas yang masih berasap lengkap dengan pisang goreng panas Bibik Inah menjadi minuman petang pada hari itu. Pelangi yang kelihatan melakar di dada langit amat cantik sekali. Mujurlah dia sempat mendapatkan teksi sebelum kehujanan.

Keesokannya,genaplah umur Viola yang ke-17. Dia pun masih tidak pasti sama ada papa mahupun mamanya mengingati tarikh itu. Namun, dia tidak mengharapkan apa-apa, selain mendoakan agar keluarga mereka dimurahkan rezeki, dan  semoga dapat meluangkan masa bersama-sama seperti dulu lagi. Itu yang amat diharapkan oleh Viola, biarpun hidupnya dilengkapi kemewahan yang sukar dimiliki orang lain, namun dia amat dahagakan perhatian dan kasih sayang. Mamanya jarang sekali berkongsi masalah, dan mungkin kerana itulah dia kadang-kala sukar memahami sikap Puan Sarah yang sentiasa berubah-ubah. Satu perkara yang masih membuatkan jiwanya tertanya-tanya, kenapa papa dan mamanya jarang sekali bertegur-sapa seolah-olah mereka umpama orang asing dalam rumah sendiri. Pernah satu malam, Viola mendengar papa dan mamanya berbincang secara senyap-senyap, dari percakapan mereka dia dapat mendengar tentang Auntie Maria iaitu mama Fara, dan yang paling mengejutkan, mamanya berkata perkara itu akan disampaikan kepada Viola apabila dia tamat sahaja menghadapi peperiksaan penting itu. “Perkara apa?" dan apa kaitannya dengan Auntie Maria iaitu mama Fara?”  persoalan yang sukar untuk dirungkaikan.

BAB 3

Keesokannya, Viola terkejut kerana mamanya yang menyediakan sarapan. Papanya pula baru berpeluang bersarapan bersama mereka. “Apakah mungkin mereka tahu hari ini hari lahir aku?”  Viola tertanya sendiri. Mamanya pula tidak ke dewan pertubuhan hari ini, mahu berehat di rumah katanya. Viola hanya tersenyum senang. “Alhamdulilah, Allah telah mengabulkan doaku, ”  bisik hati kecilnya.

Di sekolah, Viola merupakan orang yang paling gembira sekali. Dalam diam, mamanya memaklumkan kepada rakan-rakan sekelas Viola tentang parti hari lahirnya yang akan bertempat di sebuah restoran makanan kesukaan Viola. Ucapan hari lahir dan tahniah tidak putus-putus diterima daripada rakan-rakan serta guru-guru yang mengajarnya.

Viola pulang dari sekolah pada hari itu, dengan senang hati. Encik Kamil dan Puan Sarah keluar membeli-belah di pasar raya. Di dalam almarinya, tergantung gaun merah jambu beropol, dihiasi dengan bunga ros di sekelilingnya. Cantik sekali. Kata bibik, malam ni ada majlis istimewa dan Puan Sarah yang membelikan gaun itu untuk Viola. Dia tersenyum membayangkan apa yang akan berlaku pada malam harinya.

Malam itu, Viola comel sekali apabila gaun itu disarungkan ke badan kerdilnya. Puan Sarah dan Encik Kamil sedondon dengan warna tema merah jambu yang agak terang dari gaun Viola. Mereka akan ke suatu majlis yang istimewa. Kereta mewah yang dipandu Encik Kamil menyusuri lebuh raya yang berkilauan dengan lampu-lampu jalan yang berada di kiri dan juga kanan.

Setelah sampai, Puan Sarah menutup mata Viola dengan sehelai kain. Dalam hatinya, berdebar-debar menantikan apa yang bakal berlaku apabila sampai di destinasi yang gah menunggunya nanti. Kesunyian di sekitar perjalanan yang mereka lalui. Setelah itu,Viola dapat mendengar keriukan daun pintu dibuka. Dia meneguk air liur seketika.

Dalam masa dua saat,penutup mata itu dibuka. Viola masih memejamkan matanya. Tiba-tiba, terdengar bunyi mercun, belon dilepaskan udara, disertai lagu hari lahir dinyayikan serentak oleh para hadirin yang hadir. Viola terpegun dengan apa yang berlaku. Di belakang pentas, terlakar perkataan “Happy Birthday To You”, dihiasi belon yang pelbagai warna.Di sekelilingnya, pula ditulis dengan poster “Papa & Mama Love You” membuatkan Viola tidak dapat menahan air mata kegembiraan. Pelukan kasih sayang singgah di bahu Puan Sarah dan Encik Kamil.

Suasana gembira malam itu, berlalu dengan tenang dan menggembirakan buat para hadirin yang hadir. Viola merupakan orang yang paling gembira sambil sibuk melayani tetamu yang terdiri dari rakan-rakan sekolahnya. Ibu-bapa Intan, dan Mawar turut diundang. Namun, ibu Fara tidak dapat hadir kurang sihat katanya.

Para tetamu yang hadir, tidak dengan kosong sahaja. Masing-masing, membawa hadiah yang pelbagai, Puan Sarah menghadiahi puteri kesayangannya, itu dengan seutas rantai yang dibeli dari luar negara. Di loketnya terletak potret comel wajah Viola, papa serta mamanya. Viola mengucapkan terima kasih dan berjanji akan menjaga rantai itu dengan baik. Encik Kamil pula menghadiahi Viola sebuah skuter bagi memudahkannya ke sekolah tanpa perlu dihantar lagi oleh Pak Cik Murad.

Kini, peperiksaan penting itu kian hampir mendebarkan hati setiap calon yang akan menghadapinya pada bulan Oktober nanti. Tidak terkecuali ialah Viola, Fara, Mawar dan Intan. Hari-hari yang ditempuh diisi dengan waktu untuk mengulangkaji pelajaran, berbincang mengenai hal-hal berkaitan pelajaran, dan dengan menyertai seminar-seminar SPM  yang disediakan oleh guru-guru subjek di sekolah mereka.

Akhirnya, hari yang ditunggu pun tiba. Sepanjang hari peperiksaan, Viola ke sekolah dihantar oleh Pak Cik Murad atas arahan Encik Kamil bagi menggelakkan perkara yang tidak disangka akan berlaku. Ibarat kata pepatah, malang tidak mungkin berbau. Viola hanya akur dengan arahan papanya. Dia juga tidak lupa meminta restu mama, papa serta guru-guru yang telah banyak memberi sokongan.

Dalam dua minggu itu, semua calon SPM  Sekolah Menengah Kebangsaan Bangsar bertungkus lumus menghadapinya. Viola dan rakan-rakan sekelasnya saling mendoakan untuk diri mereka dan rakan-rakan yang juga mengharapkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan penentu masa depan mereka.

Segalanya dihadapi dengan yakin dan selamat. Pelajar-pelajar kelas 5 Excellent  menarik nafas lega. Tergambar di wajah masing-masing kepuasan kerana dapat melepasi arus deras itu dengan selamat. Viola juga turut mengharapkan segala usaha yang dilakukannya selama ini akan membuahkan hasil.

BAB 4

Suatu hari, sesuatu yang tidak diduga akan berlaku. Rantai yang dihadiahi Puan Sarah sempena tarikh kelahirannya yang ke-17 itu hilang sewaktu dia berbual-bual dengan mamanya malam tadi. Hal itu disedari, apabila dia baru sahaja bangun tidur pada pagi itu.Perasaan bersalah mula menguasai dirinya. Tentu Puan Sarah sedih kerana rantai itu buatan luar negara, dan sukar untuk dicari ganti. Tambahan pula, Viola amat menyayangi hadiah yang paling berharga dalam hidupnya itu.

Viola mula menjadi tidak keruan. Dia perlu menjumpai rantai itu semula sebelum mamanya dapat mengesyaki atas kehilangan rantai itu. Satu sudut rumah digeledah, Bibik Inah turut membantu mencari rantai itu. Puan Sarah masih lagi di tempat kerja. Papanya juga. Dia mula mengimbas kembali tentang semalam dari kotak fikiran. Mereka berbual di bilik tidur mamanya sementara papanya belum pulang dari ‘office’.

Viola lantas menuju ke tingkat atas. Sekitar katil,  dalam laci, bawah sofa, belakang televisyen, almari pakaian semuanya digeledah sehingga kamar itu berselerakan macam sarang tikus. Di satu sudut potret perkahwinan papa dan mamanya, Viola tertarik dengan satu peti kecil yang berwarna kelabu-hitam itu.

Dia yakin di situ rantai itu tersimpan. Mungkin mama terlupa memberitahunya bahawa rantai itu disimpan selamat dalam peti ‘rahsia’ dalam kamar tidurnya. Dicapai peti itu lalu dibukanya dengan berhati-hati. Ya! benar rantai itu tersimpan kemas dalam bekas berbentuk bulat. Viola gembira akhirnya dapat jua dia menjumpai rantai kesayangannya itu. Satu-satunya harta yang merakamkan saat terindah bersama papa dan mamanya.

Tiba-tiba pandangannya dijamah ke arah satu dokumen yang terlipat kemas diselitkan di tepi peti itu.  “Macam dokumen penting saja,”  bisik hati kecilnya. Viola melabuhkan punggung di atas katil empuk itu, dokumen itu masih dalam genggamannya. Diselaknya perlahan, pandangannya  mula menatap setiap baris ayat yang tertulis. Satu pancaran menusuk ke dalam Kabul hatinya. Matanya mula digenangi air yang bila-bila masa saja akan terluah menyimpulkan perasaannya waktu itu. Viola tersedu-sedu menahan perasaan yang amat sukar untuk dinyatakan.

Mama dan papanya akan bercerai. Suatu keputusan yang mampu membuatkan hidupnya merana. Dia akan kehilangan salah satunya kasih sayang yang selama ini dia harapkan. “Argh… tidak mungkin! Ini dokumen palsu!  mama tak mungkin sanggup lakukan semua itu, Ya Allah! Dugaan apa ini?  Inikah takdirku?”  Hati Viola memberontak keras. Dia menangis semahu-mahunya. “Apa salah aku? Apa dosa aku? Kalau mereka tidak boleh menjaga dan menyayangi aku, kenapa tak bunuh saja aku dari kecil lagi? Kenapa aku harus menjadi mangsa dalam masalah ini?Ya Allah…,” Viola meraung sekuat hati.

Geram, marah, benci, sayang semuanya bersatu dalam satu perasaan. Perasaan yang terlalu berat untuk diterima dalam hidup usia remajanya itu. Perasaan yang mampu membunuh segala cita-cita, impian dan harapannya. Viola lemah. Terasa kepalanya berdenyut-denyut. Matanya mula berpinar-pinar apabila mendengar berita yang tidak disangka itu. Pandangannya kabur, lalu Viola rebah tanpa sedarkan diri.

Dia tersedar dari pengsan, apabila merasai sentuhan Puan Sarah. Kelihatan di sebelah kanannya mama, begitu juga, di kirinya wujud papa. Viola memberikan pandangan yang amat sayu.Peristiwa yang berlalu selama 2 jam tadi, seolah-olah masih menikam-nikam tajam ke dalam lubuk hatinnya.Oh…hatinya terluka, kecewa, kecewa yang teramat sangat.

Viola lihat mamanya masih menutup muka sambil menahan tangisan. Bahunya bergerak-gerak. Papanya pula sedang memandang ke arah jendela, mungkin  masih cuba memikirkan keputusan yang diambilnya bersama mama. Viola memaut lembut tangan Puan Sarah diletakkan dalam genggamannya. Begitu juga, dilakukannya kepada papa. Mama memandangnya dengan rasa bersalah. Viola lihat terlakar garis-garis halus menghiasi wajah pucat mamanya. Garis-garis air mata bersalah,  air mata kasih sayang, ataupun mungkin juga air mata penyesalan.

Dia cuba untuk meluahkan segala isi-isi yang tersimpan di dalam hati. Lidahnya kelu seketika. Setitis demi setitis air mata jatuh dalam genggaman tiga beranak itu. Mata Viola tepat memandang mengikut ekor mata mamanya. “Mama,…”  sayu panggilannya sudah mampu menggambarkan perasaan berat yang dirasai itu. Puan Sarah menggangguk perlahan. Viola erat menggenggam tapak tangan Puan Sarah. Terasa bahang kehangatan dalam genggaman itu.

“Mama, akan tinggalkan Viola nanti, kan? Viola tahu kenyataannya papa dan mama tak pernah sayangkan Viola, sebab itu selama ini mama dan papa selalu abaikan Viola, mama memang  tak pernah ada masa untuk luangkan masa untuk Viola. Apatah lagi, dengan papa… sekarang Viola dah faham segalanya,”  kata-kata itu sesungguhnya cukup menebalkan perasaan bersalah yang kian menebal dalam sanubari Puan Sarah dan Encik Kamil.

Puan Sarah menggeleng dan menutup mulutnya. “Bukan macam tu, sayang.Mama dan papa sayangkan kamu, kamu satu-satunya anak kami, maafkan mama dan papa kerana selama ini mengabaikankanmu, tapi percayalah kami sayangkan kamu,” panjang lebar Puan Sarah menjelaskan kedudukan sebenarnya kepada Viola.Encik Kamil masih terdiam.Viola tenang menangkap setiap butir kata yang keluar dari mulut mamanya.

“Tapi, surat itu…,” kata-kata Viola terhenti apabila Puan Sarah meletakkan jarinya ke mulut Viola memberi isyarat agar dia tidak meneruskan. Bagi Viola, surat itu sudah menjelaskan semuanya. Kalau papa dan mama sayangkannya, tidak mungkin mereka akan mengambil keputusan seperti itu. “Apakah mereka tidak memikirkan perasaan aku? Bisakah aku menerima keputusan itu?” Hati Viola berbicara sendiri. Puan Sarah dan Encik Kamil termangu-mangu mencari jawapan yang dapat membantu merungkaikan persefahaman Viola itu.

Tiba-tiba seorang jururawat melangkah masuk ke dalam bilik rawatan itu. Dia memaklumkan bahawa waktu melawat sudah tamat. Puan Sarah dan Encik Kamil berbalas pandangan. “Viola, mama pulang dulu. Mama akan ceritakan semuanya apabila Viola pulang nanti, dan mama harap Viola akan faham. ” ujar Puan Sarah bagi kesekian kalinya, dia mengucup dahi Viola sebelum melangkah pergi. Doktor masih tidak membenarkan Viola pulang ke rumah kerana suasana tegang di rumah itu akan lebih lagi memburukkan keadaannya.

Genap seminggu, Viola dibenarkan pulang ke rumah dan turut dibekalkan ubat bagi menstabilkan keadaannya. Sejak itu, dia mula berubah menjadi murung dan pendiam. Tubuhnya semakin susut. Muka Viola pucat. Dia mudah tersentuh dan cepat marah.Perubahan itu amat menyedihkan Puan Sarah dan Encik Kamil. Namun, mereka terpaksa bercerai walau apa cara sekalipun. Puan Sarah berasa amat marah apabila mengetahui tentang perkahwinan suaminya, di Australia.

Dia tidak dapat membayangkan apa yang akan Viola lakukan apabila mengetahui semua itu.Viola sedang membaca novel di anjung berdekatan kolam ikan papanya.Dia sudah pulih sepenuhnya.Tidak berapa lama, mamanya datang, Sambil menatang dulang minuman petang.Viola buat tak endah sahaja.Dia masih marah tentang peristiwa itu.

Puan Sarah melabuhkan punggungnya di sisi Viola.Disisir rambut ikal Viola yang ditiup bayu petang dengan penuh kasih sayang. Viola masih bersahaja dengan layanan itu.  “Mama, nak cakap sikit boleh?” pinta Puan Sarah. Viola masih terus menyepi. Pertanyaan mamanya dibiarkan seketika. Diletakkan novel itu di sisi, sambil menggangguk perlahan.  “Boleh, mungkin juga mama nak cakap pasal keputusan yang papa dan mama ambil itu sebagai keputusan yang terbaik untuk keluarga kita. Tapi sebenarnya tidak!” kata-kata yang keluar dari mulut Viola itu amat mengejutkan Puan Sarah. Viola tidak pernah meninggikan suaranya apabila berbicara. Apatah lagi, dengan mamanya sendiri. Dia seorang gadis yang manja, dan sentiasa lembut dalam tatasusila dan percakapan. Ya! mungkin keputusan itu yang membuatkannya jadi begitu. Puan Sarah terpaksa akur dengan perubahan mendadak Viola.

Puan Sarah melepaskan pandangan ke arah hadapan. Seandainya, dia mampu membuatkan Viola mengerti apa yang dipendam dalam hati kecil wanitanya. Segala kesedihan atas apa yang dilakukan oleh lelaki yang selama menjadi ketua keluarga mereka kepada padanya, juga kepada Viola. Viola mula bangun dan melangkah pergi namun sempat dihalang mamanya. “Duduk dulu, mama akan jelaskan semuanya, dan mama harap Viola boleh menerimanya juga,”  Puan Sarah masih cuba berlembut walaupun tidak menyangka Viola akan bertindak kurang ajar seperti itu.

Viola terhenti. Dia cuba memungkinkan apa yang akan terkeluar dari mulut Puan Sarah. “Mama dan papa ambil keputusan macam tu, disebabkan satu perkara yang mama tak sangka ia akan berlaku dalam keluarga kita, dan Viola juga sudah tentu tentu tidak boleh menerimanya, mama dan papa terpaksa Viola,  kami terpaksa,  kamu faham tak?” Puan Sarah cuba meluahkan segalanya dan juga mengharapkan Viola akan cuba menerima kenyataan itu.Kenyataan yang akan membuat keluarga mereka berpisah.

Viola panik. Terpaksa? perkara apa yang sehingga menyebabkan papa dan mamanya perlu berpisah? apakah perkara itu juga tidak dapat diterimanya jua? Dia mula keliru dengan apa yang akan disampaikan mamanya.  “Apa maksud mama?”  akhirnya persoalan yang disimpan itu terlepas juga dari mulutnya. Puan Sarah menarik nafas panjang, cuba menutur kata-kata. “Ini tentang papa kamu, Viola.” Puan Sarah masih teragak-agak. Viola lihat mata Puan Sarah mula  berkaca digenangi air mata.

Dia semakin bingung. “ Ya Allah, apa yang cuba mama nak sampaikan?” doa Viola dalam berbaku dalam hati. Puan Sarah cuba menghalang air matanya dari terus menitis. “ Papa kamu dah kahwin lain dalam diam di Australia, mama dapat tahu semua itu dari mama Fara, Auntie Maria.”  tenang Puan Sarah menuturkan kata-kata walaupun  dia tahu berita itu mungkin akan menerbitkan perasaan marah dan dendam Viola terhadap papanya.

Viola lemah. Dia terduduk. Nafasnya turun naik. Air mata yang tidak dapat ditahan itu akhirnya mengalir laju membasahi mukanya yang sayu. Puan Sarah mendakap tubuh Puteri kesayanganya itu, dua beranak itu saling berpelukan dalam tangisan. Viola meronta-ronta mahu dilepaskan apabila melihat kepulangan Encik Kamil dari  ‘office’. Puan Sarah tewas. Dia mula mara mengatur langkah ke arah papanya.

Viola merenung tajam. Encik Kamil berkedip-kedip dalam tanda tanya.  “Viola benci papa! Viola tak sangka papa sanggupkan semua itu pada mama dan keluarga kita. Apa salah mama? kenapa papa sanggup hancurkan keluarga kita?  Viola benci papa! Sampai bila-bila pun Viola akan tetap bencikan Papa!...”  Viola melepaskan kemarahan yang tidak dapat dipendam lagi.

Encik Kamil cuba menghalang Viola yang memukul tubuhnya. Puan Sarah pula memeluk Viola agar dapat meredakan kemarahannya yang sedang memuncak itu.

Viola terkulai lemah. Dia rebah dalam pelukan mamanya. Puan Sarah menangis.Encik Kamil memapah puteri tunggalnya itu masuk ke dalam rumah.

BAB 5

Malam itu, Viola hanya mengurungkan dirinya dalam kamar. Kemarahan siang tadi masih lagi mendidih panas dalam sanubarinya. Dia menghalakan pandangan ke sekeliling siling dalam kamar itu. Di situ, terbayang wajah papa dan mamanya. Dia  menghempaskan segala barang-barang yang tersusun kemas di atas almari yang menghiasi kamarnya. Kelihatan ruang dalam kamar itu bersepah-sepah dan tidak terurus.  “Aku benci kau!, kau bukan papa aku! mulai sekarang, kau bukan lagi papa aku! Aku bukan lagi Suhaila binti Kamil!...,aku benci kau! Benci…” dia membentak geram sambil melepaskan buku lima memukul bantal peluk, yang menjadi tempat melepaskan kemarahan dan dendam yang semakin memuncak itu.

Viola mula melangkah lalu membuka pintu almari pakaian dengan kasar. Dia mula memunggah segala isi-isi yang tersimpan di dalamnya. Beberapa helai pakaian dimasukkan ke dalam satu beg. Air matanya mula menitis. Dia tidak dapat menerima kenyataan itu. Viola melangkah perlahan-lahan. Berat hatinya untuk meninggalkan rumah besar itu.  “Apa akan terjadi pada papa, mama, cita-cita, dan masa depannya yang masih lagi jauh,” suara itu bermain-main di dalam benak fikirannya.

Viola menyapu air mata yang mengalir di pipi. Sesampai di tingkat bawah, kelihatan Puan Sarah dan Encik Kamil sedang termenung melayan fikiran masing-masing. Viola mula melangkah ke pintu utama tanpa menghiraukan papa dan mamanya yang duduk di ruang tamu.Puan Sarah tersentak apabila mendengar daun pintu dikuak. Hal itu juga, disedari oleh Encik Kamil.

“ Viola nak ke mana ni?” Puan Sarah menyoal sambil memegang lembut bahu Viola.Encik Kamil hanya memerhati dari jauh.Dia tahu, Viola  masih membencinya. Viola memandang ke luar, semakin memuncak dendam itu apabila menatap wajah mama dan papanya.  “ Viola, nak keluar.Apa gunanya kalau Viola terus tinggal di sini, kalau mama dan papa tak sayangkan Viola lagi,  lebih baik Viola mati daripada Viola terus hidup  tanpa mendapat kasih sayang yang sempurna," Puan Sarah terkedu. Hatinya terhiris dengan kata-kata Viola itu.

Guruh di luar berdentum-dentum, disertai dengan hujan lebat yang mencurah-curah seolah-olah merelakan pemergian Viola dari rumah itu. Viola mula menguak pintu  bersedia melangkah pergi. Puan Sarah memegang erat tangan Viola.  “ Viola jangan tinggalkan mama! jangan buat mama macam ni,” rayu Puan Sarah dalam tangisan. Viola masih berkeras melepaskan pegangan itu.

Encik Kamil mula menghampiri Viola. “ Jangan dekat! Kalau tak Viola lari dari rumah ini,” kata-kata ugutan itu menghentikan langkah Encik Kamil. Hujan di luar sana semakin lebat, menjadi saksi peristiwa malam itu. Akhirnya, Puan Sarah semakin lemah. Antara rela dengan tidak .Viola telah berjaya menghunus keluar dari rumah mereka, bayangannya mula hilang dalam hujan yang semakin lebat. Puan Sarah memekik sekuat hati. Namun, Viola masih terus meredah hujan yang menimpa tubuh kecilnya itu. Encik Kamil masih berusaha mengejar Viola yang kian menjauh.

Di luar sana, Viola terus melangkah tanpa arah tujuan. Kini,dia hanya menyerahkan segalanya kepada Tuhan. Dia mula kesejukan.Bibirnya bergetar-getar sambil berlari-lari anak menuju ke ‘bus stop’. Akhirnya, dengan kedinginan malam yang mengcengkamnya itu membuatkan Viola mudah dibuai mimpi tanpa sedar.

Suasana pagi itu suram sekali, Puan Sarah terlantar lemah di atas katil sambil erat memeluk potret satu-satunya permata hati yang menjadi penyeri dalam rumah itu. Dia dan Encik Kamil sudah membuat laporan polis tentang Viola yang melarikan diri dari rumah. Seleranya kian menurun, apabila melihat makanan yang terhidang di atas meja makan. Di situ, timbul perasaan bimbangnya kepada Viola. Dapatkah gadis sebesar itu menyara hidupnya tanpa sokongan seseorang di sisi? Puan Sarah menadah tangan berdoa semoga dipermudahkan Viola menempuh hidup di luar sana, dan semoga akan terbuka hati Viola untuk pulang semula ke rumah itu.

Di sebuah tempat menunggu bas, kelihatan seorang gadis sedang nyeyak tidur di situ.Bunyi bingit kenderaan seolah-olah langsung tidak mengganggu tidurnya. Mungkin jua kerana disebabkan terlalu letih atau masih enak menikmati kesejukan embun pagi, hujan lebat semalam. Seorang warga tua, lewat umur 40-an mendekati dan mengejutkan gadis itu dari tidurnya.

Viola tergamam. Digosok-gosok matanya beberapa kali lalu melemparkan pandangan ke sekeliling yang terlalu asing baginya. Beberapa orang awam, segak dan bergaya dalam baju uniform kerja mereka sedang memerhatinya dengan pandangan yang mencurigakan. Viola menguap panjang.

Dia mula  menyarungkan kasut dan mengatur langkah pergi dari situ. Sebuah bas sampai, mengambil penumpang yang sabar menunggu.Viola hanya memandang dari jauh. Bisiknya, mungkin beberapa orang dalam kalangan itu merupakan pekerja di syarikat besar papanya.

Dia mula melintasi gerai-gerai kecil yang didirikan di situ. Kebanyakan pemilik gerai sibuk mengambil pesanan, dan tidak kurang juga sesetengahnya pula sibuk menyediakan menu yang dipesan. Viola menarik nafas panjang. Kecur air liurnya apabila melihat senarai menu yang tergantung di gerai itu. Bau yang enak mula menusuk hidung dan sekaligus merobek perutnya yang berkeroncang dari tadi minta diisi. Viola melabuhkan punggungnya di atas tangga kecil yang menjadi laluan menuju ke sebuah kedai buku dan alat tulis.Kelaparan mula menguasai diri. Betapa enaknya seorang kanak-kanak itu menikmati sandwic bersama milo panas bersama ibunya di dalam kafe itu. Kalau di rumah, sudah tentu dia tidak perlu terseksa menghadapi semua ini. Bibik Inah sentiasa memastikan makan dan minumnya terjaga.

Bangun sahaja pada waktu pagi, dia hanya memasuki ruang dapur, di atas meja sudah tersedia sarapan mengikut seleranya, papa dan juga mama. Viola meletakkan beg yang tergalas di bahu ke atas ribanya. Zip di bahagian hadapan beg itu dibuka. Dikeluarkan dua keping wang seringgit dari situ.Viola bingung sama ada ingin menggunakan wang itu atau tidak. Akhirnya, dapat juga dia mengalas perut buat hari itu, sementara berusaha mendapatkan kerja di sekitar kawasan sekitarnya. “Tetapi, adakah mereka akan menerima gadis seusianya itu bekerja?” detik hati kecilnya.

Viola mula meneruskan perjalanan dengan menyusuri pekan kecil yang agak lengang. Matanya meliar mencari iklan kerja kosong yang mungkin ditampal di sekitar tempat itu. Seketika, dia berhenti sambil mengesat peluh yang mengalir di dahi. Panas terik mentari seolah-olah membakar kulitnya. Tiba-tiba pandangannya tertarik ke arah satu iklan yang tertampal pada sebatang pokok. Viola berlari-lari anak mendapatkan iklan itu. Dia mula menumpukan perhatian ke arah setiap maklumat yang tertera di atas kertas yang dipegangnya.

Senyuman kegembiraan mula terukir di wajah. “Bekerja sebagai pekerja kilang? Hem…mampukah aku?”  Viola masih kurang yakin dengan kemampuan dirinya. Sesampainya, di tempat yang dituju. Dia mula mengatur langkah ke bangunan yang menempatkan pejabat, dengan harapan agar diterima sebagai pekerja di situ. Pintu diketuk beberapa kali. Terdengar suara seorang wanita memberi arahan memanggilnya supaya masuk.

Wanita dalam lingkungan 30-an memandang Viola dengan penuh tanda tanya. Viola tersenyum. Dia meneguk air liur beberapa kali. “Sila duduk. Ada apa saya boleh tolong ker?” ramah wanita menutur bicara namun masih lagi dalam wajah seriusnya itu. Tenang hati Viola apabila mendengar kata tutur itu sekurang-kurangnya telah dapat menggambarkan bahawa wanita itu seorang majikan yang baik.

“ Saya datang selepas membaca tentang iklan kerja kosong di kilang ini,” Viola mula bersuara Setelah melabuhkan punggung berhadapan dengan wanita itu. Sesekali dia menjeling ke arah tanda nama yang tersemat di baju uniform wanita cantik di hadapannya. “ Julia, em…secantik orangnya juga,” Viola tersengih seketika. Julia menggangguk faham. “ Sebenarnya tentang kerja kosong itu sudah pun diisi dengan orang lain. Tetapi kami masih memerlukan orang untuk mengemas bilik-bilik khas yang terdapat di kilang ini. Begitu juga, dengan bilik orang atasan.Kalau cik tak kisah, boleh la isikan borang bagi kerja kosong itu,”.Viola terkedu.

Walaupun, hatinya terasa berat untuk mengisi kekosongan jawatan itu. Namun, apabila memikirkan sudut kewangannya, dia terpaksa menggangguk setuju. “ Em…baiklah,  Cik Julia.” Viola membalas. Julia tersengih sambil menjeling ke arah tanda namanya seakan tahu Viola mengetahui namanya dari situ. Setelah itu, dia mencapai sehelai kertas dari laci mejanya .Kemudian, dia mengambil sebatang pen dalam bekas pensil di atas mejanya lalu diberikan kepada Viola. “ Ini borangnya, serahkan pada saya besok pagi, dan kalau cik tak keberatan boleh mula bekerja besok juga,” jelas Julia sambil tersenyum. Viola mengangguk mengerti lalu meminta diri untuk beredar.

Sampai di hadapan sebuah rumah kedai, dia melabuhkan punggung di atas sebuah bangku. Kelihatan di wajahnya merasai kepenatan berjalan kaki menuju ke kilang besar itu. Hari sudah beransur sejak. Kedengaran azan maghrib berkumandang dari arah sebuah masjid di tengah kota bandaraya itu. Viola tersedar dari melayani lamunannya. Dia mula mencari suara azan yang beberapa meter dari tempatnya melepaskan kepenatan. Sekurang-kurangnya, Kerisauan memikirkan tempat untuk dia berehat pada malam itu sudah terjawab apabila mendengar azan maghrib tadi. Sesampai di sana, Viola bersama jemaah lain menunaikan solat maghrib.

Setelah menunaikan solat maghrib dan isyak, diadakan ceramah agama yang disampaikan oleh seorang ustaz. Viola tidak terkecuali mengikuti majlis agama itu. Masih bermain lagi di benak fikiran, kata-kata Ustazah Asni di sekolahnya. “ Ingatlah, majlis-majlis ilmu itu ibarat taman-taman syurga, kita bebas dari godaan syaitan kerana syaitan tidak suka manusia menimba ilmu pengetahuan,” jelas Ustazah Asni kepada pelajar-pelajar kelas 5 Excellent sehari sebelum peperiksaan. Viola mendengar ceramah yang disampaikan dengan tekun dan khusyuk.

BAB 6

Kini, sudah lebih kurang seminggu, Viola bekerja sebagai tukang cuci di kilang besar itu.Walaupun, kadang-kala agak kekok juga memikul tugas yang amat asing dalam hidupnya. Namun, Viola masih cuba berdiri di atas usahanya sendiri tanpa mengharapkan pertolongan orang lain. Malahan, tubuh fizikalnya masih kuat. Sedangkan orang kurang upaya juga masih lagi gagah lagi mencari sesuap nasi dengan menggunakan keistimewaan lain yang telah dikurniakan-Nya.

Petang itu, Viola baru sahaja selesai menyelesaikan tugasnya. Suasana di syarikat itu kelihatan sunyi mungkin kerana kebanyakan kakitangan di situ sudah mula beredar pulang ke rumah masing-masing. Viola membawa peralatan mencuci lalu disimpan di dalam sebuah bilik stor. Sesekali dia menyeka peluh yang membasahi muka. Tekaknya terasa perit dan kering sekali.

Dalam perjalanan, dia singgah di sebuah restoran yang agak sesak dengan kunjungan pelanggan yang baru sahaja keluar dari tempat kerja. Beberapa orang pelayan begitu sibuk mengambil pesanan di setiap meja. Viola hanya memerhati. Matanya masih liar mencari pelayan yang mungkin ternampak akan kewujudannya di situ. Tiba-tiba, seorang gadis bertudung putih menuju ke arah Viola sambil memegang sebuah buku kecil dan sebatang pen. Viola terus memesan air bagi membasahi tekaknya yang kering itu. Beberapa minit, Pandangannya masih terus leka memerhati gadis itu berlalu pergi. Dia masih merasai bahawa antara dia dan gadis itu ada tersimpan Sesuatu rahsia di dalam setiap sanubari mereka.

Viola menghempaskan tubuhnya ke atas katil. Terbayang di ingatannya akan wajah gadis misteri tadi, kata tutur katanya, membuatkan hati Viola beria-ria untuk mengenali gadis itu dengan lebih dekat. “ Aku akan berkenalan dengan gadis itu.Mungkin apa yang berlaku dalam hidup aku selama ini ada kaitannya dengannya,”  tekad Viola dalam hati. Di situ juga sudah menjelma wajah papa dan mamanya.Ya! dia merindui mereka. Kerinduan yang sukar untuk dipendam. Apakah suatu hari nanti dia akan sempat menemui mereka sebelum dia menutup mata?  Persoalan konflik yang sering bermain di fikiran Viola.

Viola sedang mengemas di dewan mesyuarat. Setelah selesai, dia terus mula mengemas dalam bilik-bilik kakitangan di situ. Kadang-kala, dia juga perlu menyediakan minuman buat mereka apabila diperintah. Viola melakukan tugasnya dengan senang hati. Namun, ada juga sesetengah kakitangan yang tidak berpuas hati dengannya kerana majikan mereka, Puan Julia melayani Viola dengan baik sekali. Viola hanya buat endah tak endah sahaja dengan semua itu. Dia sedar pekerja bawahan sepertinya tidak layak membalas perbuatan mereka.Yang pasti, rezeki yang dicarinya itu halal. Buat masa sekarang, itu yang lebih penting.

Hujan turun dengan lebat membasahi seluruh bandaraya Kuala Lumpur itu. Viola berjalan keluar dari kilang dengan menggunakan jalan di kaki lima menuju ke restoran semalam. Dia perlu berjumpa dengan gadis itu. Kebanyakan kedai-kedai makan sudah lengang akibat kekurangan pelanggan. Sesampai di sana, Viola terus mencari kelibat gadis itu. Beberapa minit kemudian, dia tersenyum gembira apabila gadis yang dimaksudkan sedang membersihkan meja yang tidak jauh dari tempatnya.

Viola meneguk perlahan-lahan teh tarik panas di hadapannya. Di luar sana, sudah ketara menunjukkan hujan lebat tadi telah berhenti. Pergerakan kenderaan agak perlahan. Keadaan jalan yang licin membuatkan pemandu mengambil sikap berjaga-jaga. Jalan raya sesak dengan kenderaan yang sebentar tadi berhenti di tepi-tepi jalan kerana keadaan kereta yang tidak dapat dikawal dalam hujan lebat itu.

Viola menyapu air matanya perlahan-lahan. Gadis pelayan tadi baru sahaja selesai menceritakan kisah hidupnya. Rupa-rupanya antara dia dengan gadis yang mesra disapa Nani itu mempunyai masalah keluarga yang berbeza. Nani juga berasal dari latar belakang keluarga yang berada. Dia kematian ibu sejak kecil. Dia tidak bersetuju dan membantah dengan keputusan yang diambil bapanya untuk  berkahwin lain dan sekaligus menjadi ibu tiri Nani.Bagi Nani, tiada siapa yang dapat menggantikan tempat ibunya. Penyelesaiannya, sama seperti langkah yang diambil Viola. Kini, Nani masih tidak tahu mengenai khabar berita bapanya. Viola juga turut berkongsi atas apa yang berlaku ke atas keluarga mereka.

Viola dan Nani berpelukan. Dalam perasaan masing-masing seolah-olah sama-sama merasai keperitan itu. “ Viola, awak masih bertuah kerana masih punya papa dan mama, awak masih punya keluarga yang lengkap. Tapi saya,...” kata-kata Nani terhenti apabila tidak dapat menahan sebak yang membeku dalam sanubarinya itu. Viola menggeleng-geleng cuba menafikan sambil memegang erat kedua-dua belah bahu Nani.  “ Tapi, awak cuba bayangkan kalau papa dan mama saya telah sah bercerai, kami akan berpisah. Saya pun tidak tahu sama ada saya akan terus bersama papa atau mama saya, mahupun tidak. ”   balas Viola dengan sayu.

“ Kenapa awak cakap macam tu?” soal Nani sambil memandang tepat ke arah bebola mata Viola yang telah digenangi air. Lidah Viola kelu seketika. Wajahnya sedih dan kecewa.  “ Mama dan papa tak pernah sayangkan saya, saya tahu itu. Mereka tidak pernah ada masa untuk saya. Keputusan yang diambil mereka itu juga seolah-olah menggambarkan yang mereka tidak pernah fikirkan tentang perasaan saya. Saya sedih, Nani. Lebih baik saya mati saja.” luah Viola sambil menangis tersedu-sedu.

Nani menggeleng-geleng kesal. “ Tak baik awak cakap macam tu. Awak tak pernah rindukan mereka ker? Walau apapun, yang terjadi tapi mereka tetap ibu-bapa kandung kita. Awak kena ingat itu? saya tak pernah bencikan ayah saya. Tetapi, keputusan itu membuatkan saya kecewa, saya tak dapat terima semua itu,” balas Nani lagi. Viola termenung. Kata-kata yang keluar dari mulut Nani tadi begitu menghiris pangkal hatinya.

“ Sampai bila awak mahu terus hidup begini, Nani? soal Viola. Nani menggeleng-geleng perlahan. “Entah, mungkin apabila saya sudah bersedia menerima semua ini. Apabila setiap kali memandang wajah bakal ibu tiri saya itu, saya akan bertambah bencikan dia. " jawab Nani lemah sambil memandang ke bawah. Viola menekup mukanya. Dia sendiri bingung apakah yang perlu dilakukannya sekarang. Mungkin kini pihak polis sedang mencarinya dan Nani di sekitar bandaraya itu.

“ Suhaila, saya nak awak kemaskan bilik mesyuarat itu, kerana besok ‘client’ saya dari luar negara akan sampai dan kami akan menggunakannya,” perintah Puan Julia apabila Viola masuk mengemas bilik pejabatnya. Viola menggangguk faham. Puan Julia mempunyai banyak pelanggan dari luar negara. Pada setiap tahun, syarikat makanan beku itu sentiasa mendapat keuntungan yang memuaskan. Viola tersenyum sendiri.

Petang hujung minggu itu, dia keluar membeli-belah bersama Nani. Namun, mereka masih berjaga-jaga sekiranya ada orang yang mengesyaki wajah dua orang gadis yang hilang selama ini. Selesai membeli barang-barang yang diperlukan, mereka mula mencari tempat bagi mengisi perut yang berkeroncang sejak tadi lagi. Sebelum itu, mereka melintasi sebuah restoran makanan kesukaan Viola. Restoran yang dimana tempat dia menyambut hari lahirnya yang ke-17 itu. Dia memandang dari jauh dengan perasaan yang sayu. Mama dan papanya juga suka menjamu selera di situ. Restoran yang menggunakan konsep ala-ala Jepun itu menambat hati Viola setelah mengunjunginya buat kali petama.

“ Bagaimana dengan proses menjejaki anak saya itu, Inspektor? Soal Puan Sarah cemas. Inspektor Hisham menggeleng-geleng kesal. “ Maafkan kami Puan Sarah. Tapi kami yakin yang anak puan masih selamat dalam kota bandaraya ini. ” ujarnya sambil memandang tepat ke arah Puan Sarah yang masih bersedih itu. Encik Kamil terkedu. Kehilangan Viola membuatkan dirinya semakin dihimpit rasa bersalah. “ Ya Allah, apa yang aku sudah lakukan ini?” bisik hati kecil Encik Kamil. Kini, barulah dia menyedari atas segala kesilapan yang dilakukanya.

Puan Sarah berpeluk tubuhnya di atas sofa lembut itu. Di matanya tersimpan penderitaan dengan kehilangan satu-satunya penyeri dalam rumah itu. “ Di mana kamu Viola?  Pulanglah…” rayu Puan Sarah sambil melemparkan pandangan ke arah pintu gerbang itu mengharapkan semula kepulangan Viola. Encik Kamil menadah tangan berdoa semoga dipermudahkan segalanya. Terasa sudah lama dia tidak mengabdikan diri kepada Tuhan yang telah banyak mengurniakan dia kebahagiaan dan kesenangan yang selama ini mereka kecapi. Dia sudah gagal menjadi seorang suami yang baik, seorang ayah yang mulia, dan dia juga telah gagal menjadi hamba yang beriman kepada penciptanya. Encik Kamil menangis semahu-mahunya apabila mengenangkan dosa-dosa yang telah dilakukan kepada wanita yang selama ini menjadi pendamping hidupnya selama 20 tahun itu serta kepada satu-satunya permata hati mereka.

BAB 7

Di satu sudut, Viola duduk sambil menangis kecewa. Nalurinya meronta-ronta mengungkit akan peristiwa sedih yang terlalu banyak menghiris hati. Dugaan yang datang bertimpa-timpa membuatkan dia mula putus asa untuk meneruskan hidup yang baginya umpama neraka. Tempat yang menempatkan banyak konflik perasaan, di sekelilingnya hanya ada orang yang mementingkan diri mereka sendiri. Mereka cuma memikirkan kebahagiaan dan tidak pernah cuba memahami perasaan orang lain. Kepalanya dihentuk-hentukkan ke dinding dalam kamar kecil itu. Darah pekat mengalir dari kepalanya. Di atas lantai setitis demi setitis darah mengalir laju dari kecedaraan itu. Kelukaan di hati yang dipendamnya itu sesunguhnya lebih sakit dan perit dari kesakitan yang mula dirasai itu. Dibukanya laci meja, lalu dicapai dua pil ubat tidur yang mampu merehatkan kekusutan fikirannya ketika itu. Hari ini dia dipecat dari syarikat Puan Julia kerana dituduh mencuri. Buktinya, wang syarikat yang hilang itu dijumpai dalam beg tangannya. Sedangkan, salah seorang pekerja di syarikat itu iaitu Anita yang mengkhianati Viola atas dasar cemburu. Kenapa??? Viola berteriak sekuat-kuat hatinya sebelum rebah dengan penangan ubat itu.

Pagi mula menjelma, Viola masih lemah di atas katil. Penangan ubat semalam sedikit sebanyak mampu melupakan segala peristiwa sedih yang menghantui hidupnya itu. Air matanya mengalir deras. Kesal dengan apa yang berlaku.Dalam sanubarinya cuba membisikkan kata-kata semangat dan terus utuh dengan hukum Allah. Bibir Viola bergetar menahan kedinginan pagi itu dek hujan selama beberapa hari lalu. Disandarkan tubuhnya yang lemah, bersandarkan bantal yang agak lusuh.Diucapkan perlahan-lahan kalimah suci memuji keagungan Allah S.W.T. Kenangan-kenangan lama dahulu mula menjengah kembali ke dalam kotak fikirannya yang sudah mula beransur tenang.

Setelah membersihkan diri, mood Viola kembali seperti biasa. Dalam tempoh itu, dia berusaha melupakan peristiwa semalam. Kedengaran bunyi burung-burung  berkicauan di pohon-pohon rendang, di luar  tingkap bilik tidur dalam rumah sewanya itu. Viola menyisir rambut panjangnya ikalnya dengan rapi. Ditatap potret papa, mama berserta dengan dirinya. Kerinduan itu menusuk ke dalam kalbu hatinya dan sekaligus meruntuhkan kemarahan dan dendam yang berputik dalam sanubarinya terhadap kedua-dua orang insan yang amat berharga dalam hidup Viola.  “ Argh…rindunya,”  potret itu dipeluknya erat.

Viola bersiar-siar di bandar bagi menghilangkan kebosanannya pada hari itu. Tiba-tiba dia berhasrat untuk singgah di sebuah kedai alat muzik. Sudah lama dia tidak mendengar bunyi geseran muzik kesukaannya iaitu viola. Di dalam kedai itu, kelihatan alat-alat muzik tersusun rapi dan dijaga dengan sempurna. Di satu sudut, matanya terpaku ke arah sebuah viola berwarna hitam putih. Viola mengusap alat muzik itu sambil tersenyum. Seorang lelaki sebaya umurnya melangkah masuk ke dalam kedai muzik itu. Dia berbicara seketika bersama wanita yang menjaga kaunter di hadapan. Viola tidak mengendahkan semua itu.Tidak berapa lama, lelaki tadi menuju ke arah ruangan alat muzik Viola. Setelah agak lama mencari warna yang paling sesuai, dia mula mencapai viola yang berwarna hitam putih tadi. Viola tergamam. Lelaki tadi tersenyum apabila melihat Viola mula melepaskan tangannya dari viola itu.

Di luar kedai itu, Viola terkejut apabila melihat lelaki tadi duduk di atas sebuah bangku seolah-olah menunggu seseorang. Dia mula tidak keruan. Lelaki tadi mula menggesek viola yang baru dibelinya itu dengan penuh perasaan. Geseran yang lembut dan indah itu membuatkan langkah Viola terhenti. “ Hai," kedengaran suara menegurnya. Viola mula mencari siapa pemilik suara itu. Lelaki tadi kelihatan tersengih menahan tawa. “ Kat sini la,” si lelaki tadi terus mempermainkan Viola yang masih bingung. Benar! Lelaki tadi menegurnya. Viola tersenyum .Terasa ada kelucuan dengan keadaannya sebentar tadi. Lelaki itu terus meletuskan ketawanya yang tidak dapat disangkal lagi. Muka Viola mula merah padam menahan malu yang teramat sangat.

“ Kenalkan nama saya Adam. ” Lelaki tadi mula memperkenalkan dirinya. Viola menggangguk faham.  “ Nama awak apa? soal Adam sambil memandang ke arah Viola. Viola tersentak apabila menyedari Adam memandangnya sejak tadi.  “ Em…Vi..eh tak Suhaila saja,”  balas Viola tersekat-sekat. Adam tersengih dengan sifat Viola yang agak pemalu. Viola mula menghalakan pandangannya ke arah luar restoran itu melalui tingkap kaca di sisinya. Sudah dua kali dia telah dipermalukan di hadapan lelaki yang mula menegurnya tadi. “ Awak suka main alat muzik?” Adam mula merancakkan perbualan mereka apabila melihat gadis di hadapannya itu terus menyepi. Viola terdiam seketika sambil berupaya menuturkan kata-kata supaya tidak tersekat-sekat lagi. “ Suka, kenapa?” Tidak disangka apabila dia mula berasa selesa berbual-bual dengan Adam. Dari pemerhatiannya, kelihatan Adam merupakan seorang lelaki yang baik dan berbudi bahasa.

Adam menggangguk perlahan-lahan. “ Contohnya viola ini, kan?” teka Adam sambil menunjukkan alat muzik itu ke arah Viola. Viola terlopong. “ Macam mana awak boleh tahu?” soal Viola dalam tanda tanya. Tidak mungkin Adam mengetahui alat muzik kesukaannya sedangkan mereka baru sahaja berkenalan. Adam mengenyit sebelah matanya. “ Bukankah dalam kedai alat muzik tadi, saya tengok awak tekun sangat memerhati viola ni,” ujar Adam sambil tersenyum. Viola turut tersenyum dan tidak menyangka Adam menyedari segala perlakuannya dalam kedai muzik tadi. “ Awak pandai main viola?” Adam terus mengcungkil rahsia tentang gadis itu. Viola menggeleng-geleng tanda jawapan atas soalan itu. Adam menarik nafas panjang. “ Kalau awak nak, boleh saya ajarkan. Bila dah mahir nanti bolehla menjadi salah seorang pemain alat muzik dalam band saya,” Adam menawarkan peluang kepada Viola tanpa diminta. “ Bolehkah?" Soal sambil mencemikkan mukanya.Adam masih bersahaja sambil menghisap straw berisi jus oren itu.

BAB 8

Di sebuah studio, Adam membawa Viola berjumpa dengan ahli dalam bandnya. Band yang diberi nama ‘Just Once Time’ itu dianggotai oleh empat orang rakan-rakan sekolahnya. Viola berasa gembira apabila menyedari kedatangannya disambut baik oleh ahli band itu dengan baik sekali. Mereka kelihatan sibuk membuat latihan bagi persediaan membuat persembahan di sebuah majlis rasmi bertempat di sebuah rumah seorang jutawan terkenal. Adam yang berperanan menjadi ketua dalam kumpulan itu tidak putus-putus memberi tunjuk ajar kepada rakan-rakanya yang lain. Setelah memastikan ahli band yang lain sudah mula serius dalam latihan. Dia mula bersungguh-sunguh mengajar Viola bermain alat muzik yang menjadi kesukaan gadis itu.

Setiap hari Viola mula boleh menyesuaikan diri dengan Adam dan begitu juga, dengan rakan-rakannya yang lain.Walaupun, kebanyakan antara ahli band itu yang lainnya dianggotai oleh lelaki.Namun, Viola berasa lega kerana kenalan barunya itu pandai menjaga hati perempuan.Apabila melihat kemesraan mereka, sudah tentu orang-orang di luar sana menyangka bahawa mereka mempunyai apa-apa hubungan.Namun, Viola tidak akan menolak sekiranya dia memang dijodohkan dengan Adam.

Petang itu, Viola berasa gembira sekali dengan kehadiran Nani, satu-satunya sahabat yang memahami naluri hatinya. Nani juga memaklumkan bahawa tidak lama lagi dia akan pulang ke rumah semula kerana ayahnya sudah menelefon dan memberitahu bahawa dia tidak akan berkahwin lagi kerana tidak mahu membuatkan Nani sedih. Viola sekadar buntu dengan keputusan Nani. Air matanya tidak dapat menahan kesedihan bahawa Nani akan meninggalkannya dan kembali semula ke pangkuan keluarga. Namun, apakan daya dia tidak berhak menghalang Nani bagi menikmati kebahagiaan yang sedang gah menunggunya di rumah itu.

“Huh…," dia mendengus panjang. Terasa kepenatan mula menguasai dirinya.Dari jauh sana, Viola melihat ahli band yang lain sedang menyimpan alat muzik yang digunakan dalam latihan pada petang itu. Tidak berapa lama, ahli band seramai enam orang itu berkumpul di sebuah ruang rehat sambil melepaskan kepenatan masing-masing. Di tangan Adam, kelihatan sehelai kertas dibuka membuatkan ahli band yang lain dalam tanda tanya.”  Minggu depan, kita ada jemputan dari majlis makan malam bersama anak yatim. So,korang semua jangan lupa datang latihan besok. ” ujar Adam dengan serius seraya mengingatkan jadual latihan mereka. Ahli band yang lain mula menggangguk faham.

Sesampainya di rumah, Viola tidak berhenti-henti batuk. Cecair yang berada dalam lubang kerongkongnya terasa perit dan pedih sekali. Badannya lemah. Wajah Viola pucat menandakan keadaaannya yang kurang sihat. Sesekali Viola tergesa-gesa berlari ke sinki mengeluarkan isi-isi kerongkong yang membuatkannya tidak selesa. Tiba-tiba, dia tergamam. Cecair yang berupa darah pekat itu amat mengejutkannya. Viola tersandar lemah di birai hujung katilnya .Kepedihan yang terasa di kerongkong tadi seolah-olah lenyap begitu saja. Digeleng-geleng kepalanya beberapa kali menafikan apa yang mula terhasil di dalam fikiran hati dan perasaan.

Viola tenang dalam kesejukan air wudhuknya. Mulutnya tidak pernah berhenti terkumat-kamit memuji Tuhan yang agung. Air matanya mengalir deras. Dia terbatuk-batuk seketika.Hati Viola mula bercampur gelisah dan bimbang. ” Ya Tuhan, berilah peluang kepadaku untuk hidup lebih lama di dunia ini. Sesunguhnya, terlalu banyak lagi yang perlu aku tebus kembali”. Ditekup wajahnya sambil menangis tersedu-sedu. Mengapa ujian yang ditempuhinya terlalu berat dan menyakitkan? Mengapa Tuhan selalu membiarkannya sentiasa dalam kesedihan hidup sendiri? Segala kekesalan dan kekecewaan yang membelenggu dirinya sejak sekian lama diluahkan dengan penuh perasaan.

Malam itu, dia bersiar-siar di bandar bersama Adam sekadar memenuhi pemintaan lelaki itu. Adam membawanya ke sebuah tempat yang menarik. Viola tersenyum. Betapa bahagiannya apabila wujudnya Adam di sisi. Namun, senyumannya mula pudar apabila mengingati bahawa hidupnya tidak akan panjang lagi. Perubahan Viola secara tiba-tiba itu menimbulkan tanda tanya kepada Adam. ”Awak ok ker?” soal Adam apabila menyedari Viola hanya menyepi pada malam itu. Viola tersenyum pahit berupaya menyembunyikan kesedihan itu. Biarlah dia menanggung semua itu seorang diri, tanpa perlu mengecewakan Adam dan juga rakan-rakannya yang lain. Kini, Viola sudah berhenti berharap agar dapat terus menikmati hidup ini bersama Adam kerana nafasnya akan terhenti pada bila-bila masa sahaja. Doktor juga turut mengesahkannya. Namun begitu, Viola masih percaya kepada Tuhan yang satu.

Pagi yang damai itu, dia melangkah ke hospital besar di ibu kota bagi mendapatkan rawatan susulan. Hidup Viola kini hanya bergantung kepada ubat-ubatan yang dibekalkan oleh doktor. Dia juga sudah memaklumkan kepada Nani tentang penyakit berbahaya yang kini sedang menyerang dirinya. Viola menghidapi leukimea. Penyakit yang tiada harapan untuk sembuh lagi. Keadaannya yang tertekan dan sentiasa dibebani dengan pelbagai masalah menyebabkan penyakit itu semakin parah. Petangnya pula, dia masih cuba mengikuti latihan band mereka. Biarpun,doktor telah menyarankannya supaya banyak berehat,t etapi Viola tidak mahu mengecewakan ahli band ‘Just Once Time’ dan sekaligus menyusahkan Adam untuk mencari penggantinya dalam band itu.

Bulan depan, mereka akan membuat persembahan di Korea. Sebelum itu,mereka juga perlu memenuhi beberapa undangan dari majlis-majlis formal di dalam negara. Kadang-kala hampir sehari suntuk ahli band itu membuat latihan bagi memuaskan hati orang-orang yang menaruh harapan kepada mereka agar nama band itu akan terus melonjak naik dalam industri muzik tanah air. Masa yang dinantikan pun tiba, band ‘Just Once Time’  berjaya memberikan persembahan yang terbaik semasa majlis makan malam bersama anak-anak yatim itu.

Hati Viola begitu tersentuh apabila menatap wajah-wajah sayu mereka. Sekurang-kurangnya dia masih mempunyai kedua ibu bapa yang masih cuba memberikannya kesenangan dan kemewahan. Namun, dia tidak mengharapkan semua itu.Dia lebih rela bersederhana daripada terus melayari hari-hari yang membosankan di rumah besar itu. Bukan itu sahaja,l ayanan mama dan papanya juga kadang-kala dirasakan tidak ikhlas melainkan hanya sekadar menyedapkan hati Viola.

BAB 9

Viola sedang tekun menguruskan pokok bunga yang ditanamnya. Sesekali rindu juga mahu menikmati pokok-pokok bunga yang hidup subur hasil titik peluh mamanya. Begitu juga,dengan kolam ikan papa. Entah kenapa tiba-tiba timbul minat itu sejak dia mendiami kawasan perumahan itu. Benarlah kata orang, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.Selesai menyiapkan tugas, tiba-tiba telefon bimbitnya berdering. Viola tersenyum apabila mendapati panggilan yang diterimanya itu dari Nani. Nani akan datang ke rumahnya pada petang itu. Hati Viola bebunga-bunga riang. Keesokkannya,dia dan ahli band ‘Just Once Time’ yang lain akan berangkat ke Korea awal pagi besok.

Dia terbatuk-batuk kuat. Nani memandang Viola dengan cemas. Apabila melihat keadaan Viola sekarang, timbul perasaan bimbang dengan memikirkan pemergian sahabatnya itu ke Korea keesokkannya. ”Awak kena rehat banyak-banyak. Saya risau la tengok keadaaan awak ni. Saya 'call' mama dan papa awak dan maklumkan pasal ni yer?” Nani mulai mengutarakan perasaan bimbangnya itu kepada Viola. Viola terbatuk-batuk sekali lagi. Pantas dicapai ubat lalu ditelannya perlahan-lahan. ”Jangan,saya tak nak nanti mereka sedih.B iarlah saya mati seorang diri saja,” balas Viola sambil menggengam erat tangan sahabatnya itu,s eolah-olah cuba menghalangnya berbuat demikian. Nani mengusap tubuh Viola perlahan-lahan. ”Tak baik awak cakap macam tu. Rezeki, jodoh dan maut itu di tangan Tuhan. Awak kena kuatkan semangat untuk meneruskan hidup. Saya tak sanggup la tengok awak terseksa macam ni,” luah Nani sambil memberikan pandangan yang sayu ke arah Viola yang sedang berusaha menahan perit dalam saluran kerongkongnya.

Viola masih cuba menguntumkan sebuah senyuman kecil. Timbul perasaan terharu dalam sanubarinya apabila melihat keprihatinan dan kasih sayang seorang sahabat seperti Nani itu terhadap dirinya. Dalam hati,dia memanjatkan doa penuh kesyukuran setidak-tidaknya,dia masih dapat merasai apa itu nikmat kasih sayang daripada seorang sahabat yang begitu mulia. Air mata Viola mula gugur, hangat membasahi pipi putih langsatnya. Nani memeluk tubuh Viola dengan erat. Terasa ada kesayuan dalam dakapan itu.Hati Nani sebak bagai ditusuk sembilu tajam. Akhirnya,dia juga tidak dapat menahan mutiara jernih itu daripada terus membasahi wajahnya.

Malam itu,Nani mengambil keputusan untuk tidur di rumah Viola apabila didesak beberapa kali. ”Wah,bestnya pergi Korea, kan? Boleh tak kalau saya nak ikut sekali? kata Nani sambil tersenyum. Viola sekadar tersengih. ”Alah, bukannya lama pun. Cuma tiga hari saja,” balas Viola lagi. Nani menunjukkan ekspresi muka terkejut. ”Apa? awak tinggal kat sana selama tiga hari? Boring la saya macam ni,” Nani sudah menunjukkan wajahnya yang separuh merajuk. Viola menggeleng-geleng perlahan. ”Ok, macam ni. Saya janji akan belikan awak ‘souvenier’, nak tak? Viola masih cuba menghilangkan perasaan gundah-gelana yang mula terhasil dalam lubuk hati sahabatnya itu. Nani mula tersenyum manis lalu menggangguk pantas.

Keesokkannya, Nani menghantar Viola ke KLIA. Adam dan ahli band yang lain sudah sampai lebih awal. ”Jaga diri baik-baik. Jangan lupa makan ubat,tau! Nanti kalau awak sakit siapa jugak yang susah,” bisik Nani sambil memeluk tubuh Viola erat. Viola sekadar tersenyum mendengar Nani memberi nasihat tak ubah macam seorang nenek kepada cucunya. ”Ya la. Awak pun sama. Jaga diri baik-baik. Saya pergi dulu. Bye! Jangan lupa kirim salam saya dekat ayah awak. ” Balas Viola.Dia mula melangkah ke tempat pemeriksaan beg. Dari jauh,dia masih cuba melempar pandangan terakhir ke arah Nani sambil melambai-lambai.

Sesampainya di Korea, Viola melepaskan kepenatan di bilik hotel. Perjalanan yang mengambil masa selama 11 jam itu amat memenatkan. Dia mendengus panjang.

Malam itu, mereka perlu bersedia untuk memberikan persembahan kepada peminat-peminat band ‘Just Once Time’ di negara itu. Dia lantas mengambil ubat apabila mengingati pesanan Nani tadi.

Viola berdebar-debar apabila melihat para penonton yang sedang menonton mereka dari bawah pentas. Dia berasa takjub sekali. Tidak menyangka bahawa nama band mereka boleh melangkah sejauh itu. Mereka cuba memberikan persembahan yang terbaik buat para peminat yang hadir di situ. Suara tepukan mula kedengaran. Kamera rakaman yang berada di kiri kanan pentas setia mengambil setiap gerakan persembahan band mereka.

Puan Sarah termenung panjang. Dicapai alat kawalan jauh,lalu ditekan satu punat di atas badan alat itu. Televisyen terbuka menyiarkan siaran. Dia terkejut dan seakan tidak percaya dengan apa yang dilihat di hadapannya sekarang. Dia tidak dapat menahan perasaan gembira. Kelihatan anak perempuan tunggalnya itu sedang menggesek viola di atas pentas menyertai ahli band yang kini sedang giat menempa nama. Puan Sarah memanjatkan kesyukuran. Akhirnya,doanya dimakbulkan jua. Kali ini dia nekad akan mencari Viola apabila mereka pulang semula ke Malaysia. Air matanya jatuh setitis demi setitis kerana terlalu gembira.

Hari yang ditunggu pun tiba.Viola dan ahli band yang lain selamat mendarat pulang ke Malaysia. Puan Sarah pula masih sibuk berbincang bersama pihak polis bagi terus menjejaki Viola yang kini telah menjadi salah seorang pemain alat muzik dalam sebuah band. Nani gembira menyambut kepulangan Viola. Namun, sesuatu yang tidak disangka telah berlaku. Keadaan Viola semakin tenat. Hati Nani hancur apabila doktor mengesahkan bahawa hidup Viola tidak akan panjang lagi. Adam dan ahli band yang lain menggeleng-geleng kesal. Selama ini, Viola telah berusaha menyembunyikan semuanya tanpa pengetahuan mereka.

Saban hari, Nani dan ahli band yang lain bergilir-gilir menjaga Viola di hospital. Walaupun, Adam masih tidak berpuas hati dengan keputusan Viola. Namun, apabila setiap kali dia melihat gadis itu terbaring lemah di atas katil membuatkan hatinya diterpa rasa bersalah. Mungkin Viola terpaksa melakukan semua ini demi terus menjaga hati orang-orang yang berada di sekelilingnya. Tapi,dia sudah cukup teseksa?  Mengapa harus dia menjalani seorang diri? Sedangkan, di sekelilingnya masih wujud Adam, Nani dan rakan-rakan yang setia sentiasa menyayangi Viola.

BAB 10.

Adam memandang Viola yang terlantar di atas katil hospital dengan sayu. Seluruh badan Viola diliputi wayar. Betapa gadis itu terseksa menikmati sisa-sisa hidup yang entah bila akan berakhir. Kelopak mata Adam mula berkaca. Viola rela meninggalkan segala yang indah dalam hidupnya demi pergi menagih kasih. Nani telah menceritakan segalanya tentang Viola. Disentuh dahi Viola lembut. Kelopak mata Viola terbuka perlahan-lahan. Terukir sebuah senyuman yang manis di situ. Mungkin jua senyuman yang terakhir yang dihadiahkannya untuk Adam.

Adam melabuhkan punggungnya. Senyuman itu seolah-olah belum mampu menyembunyikan segala penderitaan yang bersarang dalam hati Viola. ”Janganlah nangis,” pujuk Viola sambil tersenyum. Adam turut tersenyum. Biarpun,dalam keadaan seperti itu, Viola masih cuba menghiburkan hati orang di sekelilingnya. ”Mana kawan kita yang lain?” soal Viola. Tepat memandang Adam. Adam terdiam. Setiap masa,Viola sentiasa bertanyakan tentang Nani,dan kawan-kawan mereka yang lain. Keadaannya begitu terdesak. Viola seakan selalu diterpa rasa ketakutan jikalau dia akan meninggalkan dunia ini tanpa sempat menemui mereka.

“Kejap lagi mereka datang,” sambung Adam ringkas. Viola sekadar menggangguk perlahan. ”Awak nak buah?” Adam terus memancing selera Viola. Dicapai sebiji buah epal lalu dikupas di dalam sebuah bekas. Viola menggeleng lagi. Seleranya terbantut. Dia menarik nafas panjang.  Adam seraya berhenti puas. Sudah puas dia memujuk Viola makan, namun Viola seolah-olah tidak mempenduli lagi tentang makanan.

“Adam,” panggil Viola lemah. Mata Adam bertembung dengan mata Viola. ”Kenapa?” hati Adam mula diterpa rasa cemas menantikan apa yang akan keluar dari mulut Viola. Digenggam erat jari-jemari Viola. ”Saya nak awak tahu sesuatu tentang saya,” ujar Viola disertai dengan air matanya yang mula mengalir. Adam tersentak. ”Mengapakah Viola berkata sedemikian rupa? Masih adakah rahsia yang tersimpan kemas di hujung lubuk hati gadis itu?” naluri Adam bertanya sendiri.

“Saya manusia yang kaya dengan harta. Tapi…”kata-kata Viola mati di situ. Adam masih setia menanti. Viola menggeleng sekilas. Dia menarik nafas dalam-dalam. "Saya miskin dengan nilai kasih sayang. Selama ini, saya telah berupaya mencari sinar kasih sayang yang abadi, pada diri awak, Nani dan kawan-kawan kita yang lain. Akhirnya, saya sudah menemui kasih sayang itu. ”dalam suara serak itu Viola berusaha menutur kata-kata. Air mata jernihnya kian mengalir deras membasahi pipi. Adam mati kata-kata. Dia masih terkejut dengan pengakuan Viola yang tidak disangka itu.

“Apa maksud awak?”Adam terus diselubungi dengan tanda tanya. Viola bangun dari pembaringannya, Adam membantu mendudukkannya. Dia terdiam sebantar lalu kembali memandang Adam. ”Bermula pertemuan kita dahulu,sebenarnya ia merupakan satu titik permulaan kasih sayang yang saya harapkan selama ini. ”

Viola terbatuk-batuk kecil. ”Saya dibesarkan dalam kemewahan harta benda. Semua orang di sekeliling saya menyangka bahawa itu sudah cukup memberi kepuasan dan kebahagiaan untuk saya. Papa dan mama saya sentiasa sibuk. Siang dan malam mereka masih terus mengejar harta kekayaan. ’Outstation sana. ’Outstation’ sini.’ Meeting’ sana.’ Meeting’ sini. Kadang-kala,hati saya cemburu, dengan layanan ibu-bapa rakan yang lain. Mereka dihantar ke sekolah, membeli-belah bersama, luangkan masa di rumah,dan macam lagi. Sudah tentu ia merupakan saat yang paling berharga bagi mereka. Tapi,saya tahu. Ia amat mustahil untuk dilakukan oleh mama dan papa saya. ” Hati Viola sebak.

Adam menunduk lemah. Sesunguhnya, hidup Viola jauh lebih baik dari hidupnya. Ya! Sejak kecil, Adam dahagakan kasih sayang. Dia miskin harta. Liku-liku hidupnya amat menyeksakan, terlalu pahit untuk ditelan, dan juga menyakitkan kerana di sekelilingnya hanya wujud onak dan duri yang sangat tajam. Dendam yang mula luput di hati Adam kini mula terpalit semula apabila mengingati kisah silam yang berlalu selama 20 tahun itu. Hatinya semakin sakit. Sakit teramat sangat!

“Jadi sekarang di mana papa dan mama awak?” persoalan Adam mematilan lamunan Viola.Dia menggeleng lemah.”Saya terlalu kecewa apabila mendapat tahu bahawa papa dan mama saya akan bercerai. Saya dapat tahu semua ini secara tiba-tiba. Hati saya terluka. Selepas itu,saya ambil keputusan untuk lari dari rumah dan meninggalkan segalanya yang indah dalam hidup saya. Kesian mama. Dia pasti terseksa dengan kecurangan papa saya.”  Mendatar suara Viola menahan kesedihan yang dirasainya ketika itu. Adam termenung lagi. ”Jadi,awak Viola yang dicari selama ini?” dahi Adam berkerut. Dia juga sudah mengetahui tentang kehilangan seorang gadis iaitu merupakan anak seorang ahli korporat. Viola terkejut.

Dia menggangguk perlahan. Jantung Adam berdegup kencang. Bagaimana jika dia dituduh cuba melarikan Viola selama ini? Adam mula tidak keruan. ”Kenapa?” soal Viola apabila menyedari perubahan mendadak Adam itu. Adam tersenyum. Tawar.

Tiba-tiba,Viola mula terbatuk-batuk kuat. Ditekan dadanya berupaya menahan sakit. Darah pekat mengalir di atas tapak tangan Viola. Adam panik. Dia lantas berlari-lari mendapatkan doktor yang merawat Viola. Viola semakin tenat. Nafasnya sesak. Nyawanya kini bagaikan bagaikan berada di hujung tanduk. Adam masih menggenggam tangan Viola erat. Tidak berapa lama kemudian, Nani dan rakan-rakan mereka yang lain pun sampai. Doktor segera memberikan Viola bantuan pernafasan. Namun, ia masih tidak dapat membantu. Nani membisikkan kalimah syahadah di tepi telinga Viola apabila melihat suasana tegang itu. Dengan bersusah payah,Viola terus setia mengikut khalimah yang dibisikkan oleh Nani. Tanpa sedar,air mata masing-masing mengalir. Siapakah yang sanggup melihat teman sendiri dalam keadaan yang terseksa seperti itu?

Bebola mata Viola tepat memandang ke atas siling. Nafasnya semakin perlahan lemah. Perlahan-lahan genggaman tangan mereka terlerai. Matanya tertutup rapat.

Viola telah pergi buat selama-lamanya. Nani tidak dapat menahan kesedihan. Dipeluk tubuh Viola erat. Dikucup dahi Viola lembut. Seakan ada yang hilang dari jiwanya. Sahabat yang periang dan menghiburkan itu telah meninggalkannya. Air mata jernih Nani mengalir laju membasahi ubun-ubun rambut Viola. Nani meronta-ronta. Adam tersandar lemah. Masing-masing kaku.

Sejurus selepas itu, Puan Sarah dan Encik Kamil berlari-lari melangkah masuk ke dalam bilik wad itu. Air mata Puan Sarah mengalir deras. Digerak-gerakkan tubuh Viola yang sudah tidak bernyawa. ” Viola, bangun. Jangan tinggalkan mama. Mama janji akan berikan sepenuh perhatian kepada kamu. Mama janji, sayang. Bangunlah…,jangan tinggalkan mama.”  Dipeluk tubuh Viola dengan rakus. Namun, semuanya sudah terlambat.” Viola, papa minta maaf. Papa silap.” Encik Kamil menangis semahu-mahunya. Biarpun,kata pepatah ada mengatakan, bahawa yang patah itu akan tumbuh kembali,dan yang hilang itu akan berganti.

Namun,bagi mereka Viola hanya satu. Dia Viola yang penuh dengan nilai ketabahan,dalam jiwa mulusnya itu tersimpan seribu kecekalan.

“Sudahlah, auntie. Tuhan lebih sayangkan dia. ” bujuk Nani sambil memegang bahu Puan Sarah cuba menyabarkannya. Adam melemparkan pandangan ke arah luar jendela. Kehilangan Viola amat dirasai oleh setiap ahli dalam band mereka. Kelihatan bayang-bayang Viola di luar sana melambai-lambai ke arahnya. Adam tersenyum. Perlahan-lahan bayangan itu hilang lalu luput dari pandangan. Viola!!! pekik Adam membelah suasana keheningan itu.Namun, tiada sesiapun yang dapat mendengarnya.